RCI TH: Perlu dijelaskan dari sudut halal haram, baru orang faham
- Helmi Mohd Foad

- Aug 16
- 2 min read
Updated: Aug 17

Isu membabitkan pengurusan dan kerugian Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilihat sebagai persoalan amanah serta akauntabiliti, bukan semata-mata isu kewangan atau politik, kata penganalisis ekonomi, Ahmad Faizuddin Razali (gambar).
Beliau berkata masyarakat khususnya umat Islam, perlu memahami bahawa amanah dalam menguruskan harta awam mempunyai dimensi agama yang serius.
"Perbincangan mengenai halal dan haram tidak seharusnya terhad kepada perkara yang lazim dibicarakan dalam masyarakat sebaliknya perlu turut merangkumi amanah dalam pengurusan wang dan institusi milik umat Islam.
"Kalau isu halal sahaja kita faham tetapi aktiviti yang membawa kepada kerugian dan melibatkan amanah tidak difahami masyarakat, akhirnya kita berdepan masalah yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Merungkai RCI Tabung Haji sempena Persidangan Khas Ulama dan Agamawan Hifz Al-Mal di Ampang hari ini.
Turut tampil sebagai panel ialah dua akauntan bertauliah, Wan Syukri Wan Mustapha dan Taqiuddin Amini Abdul Satar dan bekas Timbalan Yang Dipertua YADIM, Zolkharnain Abidin.
Faizuddin berkata isu TH boleh difahami menerusi beberapa fasa, bermula dengan apa yang disifatkannya sebagai fasa kerosakan, diikuti usaha pemulihan institusi berkenaan.
Beliau mendakwa kelemahan tadbir urus dan kegagalan melaksanakan amanah dengan sewajarnya telah menyebabkan TH berdepan masalah kewangan yang besar sehingga memerlukan langkah pemulihan.
Beliau turut menyentuh penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sebagai antara mekanisme yang digunakan kerajaan dalam proses pemulihan TH menerusi pemindahan aset.
Menurut Faizuddin, perkara yang lebih penting bukan sekadar sama ada masalah kewangan TH telah diselesaikan, tetapi bagaimana pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan yang merugikan institusi itu dipertanggungjawabkan.
"TH mungkin sudah diselesaikan, tetapi persoalan akauntabiliti tetap ada. Mereka yang tidak amanah perlu diambil tindakan," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerugian bernilai berbilion ringgit mempunyai kos peluang yang besar kepada masyarakat kerana dana sebesar itu boleh digunakan bagi membiayai pelbagai kemudahan awam termasuk sekolah dan pembangunan sosial.
Faizuddin berkata masyarakat tidak seharusnya bersikap tidak peduli terhadap kerugian dana awam hanya kerana kesannya tidak dirasakan secara langsung oleh individu.
Katanya budaya tersebut perlu diubah dengan meningkatkan kesedaran mengenai hubungan antara amanah, tadbir urus dan pengurusan harta umat.
Dalam hal ini, Faizuddin turut menggesa isu amanah dan pengurusan TH dibawa ke ruang pendidikan agama termasuk masjid dan surau supaya masyarakat memahami bahawa salah urus kewangan juga merupakan persoalan moral dan agama.
"Topik ini perlu masuk ke surau dan masjid. Kalau boleh, ia perlu sampai kepada lebih ramai orang," katanya.
Beliau berkata masyarakat tidak boleh melihat isu TH semata-mata menerusi kaca mata politik atau berdasarkan identiti pihak yang terlibat.
Sebaliknya, katanya masyarakat perlu berani menegur mana-mana pihak yang gagal melaksanakan amanah tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mereka.
Beliau turut menyeru golongan agamawan dan pendakwah supaya lebih berani membicarakan soal amanah, integriti serta pengurusan harta awam dalam kuliah dan ceramah mereka.
Menurutnya perbincangan agama tidak seharusnya hanya tertumpu kepada isu ibadah individu sedangkan persoalan pengurusan wang umat turut mempunyai kesan besar kepada masyarakat.
Beliau berkata generasi muda juga perlu diberikan kefahaman mengenai isu berkenaan supaya kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.
Menurut Faizuddin, kegagalan mengambil iktibar daripada episod terdahulu berisiko menyebabkan masalah sama berulang, sekali gus membebankan generasi akan datang.
"Masyarakat perlu bercakap kepada keluarga dan kawan-kawan supaya semua orang tahu isu Tabung Haji adalah isu yang sangat serius dan ia tidak boleh berulang," katanya.




Comments