top of page

RCI TH: Jangan main 'tai chi' tiada perkataan 'sakau', dakwaan jenayah tetap wujud

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

Pihak yang sengaja 'bermain tai chi' dengan memfokuskan kepada ketiadaan perkataan ‘sakau’ dan ‘samun’ dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) amat dikesalkan.


Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young biarpun laporan RCI tidak menjurus seratus peratus kepada penyelewengan namun terdapat ayat dalam laporan itu mengesyorkan siasatan jenayah serta audit forensik dilakukan.


Hakikatnya, beliau berkata, rakyat tidak menunggu sama ada sesuatu perkataan tertentu wujud atau tidak dalam laporan berkenaan, sebaliknya mahu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap institusi berkenaan.


"Laporan RCI tidak menggunakan istilah politik seperti ‘sakau’ atau ‘samun’ kerana ia ialah sebuah dokumen rasmi. Sebaliknya, laporan itu menggunakan istilah yang jauh lebih teknikal dan serius seperti ‘perakaunan kreatif’, penyembunyian rosot nilai aset, pengisytiharan keuntungan serta hibah ketika mengalami kerugian, selain dakwaan pemalsuan maklumat atau dokumen.

David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

"Lebih penting, RCI turut menyatakan terdapat isu yang berpotensi melibatkan kesalahan jenayah serta mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan lanjut.


"RCI juga mengesyorkan audit forensik menyeluruh terhadap pelaburan yang disifatkan sebagai mencurigakan dan bermasalah," katanya menerusi satu kenyataan.


Justeru, David Cheong berkata, perhatian rakyat tidak seharusnya dialihkan kepada soal sama ada wujud atau tidak perkataan ‘sakau’ dalam laporan berkenaan sebagaimana dimainkan oleh segelintir pemimpin Umno.


Menurutnya beliau, persoalan sebenar ialah mengapa RCI mengesyorkan siasatan jenayah dan audit forensik jika semuanya didakwa tidak bermasalah.


"Sejak tahun 2014 lagi, BNM telah mengeluarkan surat peringatan kepada pihak pengurusan Tabung Haji dan Menteri yang bertanggungjawab mengenai kedudukan rizab institusi itu. Namun isu tersebut berlarutan sehingga beberapa tahun berikutnya.


"Menyalahkan pegawai semata-mata atau bermain ‘tai chi’ untuk tidak bertanggungjawab bukanlah sifat seorang pemimpin yang berintegriti.


"Kepimpinan menuntut keberanian mengakui kelemahan, menerima penemuan secara terbuka dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan," katanya lagi.


Dalam kenyataan sama, David Cheong yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor turut menepis dakwaan pembangkang Pas sebelum ini bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam, sambil menegaskan perkara itu tidak disokong oleh dapatan laporan RCI.


"Satu lagi fitnah yang sering dimainkan juga telah terbukti tidak berasas. Tiada sebarang dapatan dalam laporan RCI yang mengesahkan dakwaan bahawa aset Tabung Haji telah dijual kepada orang bukan Islam atau kepada mana-mana parti politik ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0.


"Tuduhan yang diulang bertahun-tahun itu tidak disokong oleh penemuan RCI. (Kesimpulannya) berikan ruang kepada SPRM, PDRM dan agensi berkaitan menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan telus.


"Jika ada salah laku, biarlah undang-undang menentukan. Jika ada yang tidak bersalah, biarlah mereka dibersihkan melalui proses keadilan," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page