RCI Tabung Haji dedah salah urus pajakan hotel, bayaran dividen


Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendedahkan berlaku salah urus dalam institusi itu antara 2014 hingga 2018, termasuk berkaitan perakaunan dan perjanjian pajakan hotel di Arab Saudi.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat pihak tertentu yang berkaitan dengan perkara itu dan perkembangan lanjut mengenainya dijangka akan dapat dilihat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Beliau turut membangkitkan isu perjanjian pajakan empat hotel di Arab Saudi, Al-Rawda, yang bernilai RM1.5 bilion yang didakwa diserahkan kepada pihak orang tengah.
"Perjanjian pajakan empat hotel di Arab Saudi, Al-Rawda RM1.5 bilion. Diserahkan bulat-bulat kepada orang tengah, kutipan sepatutnya SAR2.49 bilion. Habuk pun tak ada," jelas beliau dalam Ceramah Kelompok: Sesi Penerangan Isu Semasa Jelajah SEDAR di Bazaria Pantai Dalam, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Fahmi, maklumat mengenai perkara itu turut pernah dibangkitkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, di Parlimen.
"Siapa beritahu (kewangan TH), Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan II di Parlimen. Dalam Parlimen bila kita cakap sama macam mahkamah, perkataan kita disimpan selama mana Parlimen itu wujud, dalam hansard," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, Akta Tabung Haji menetapkan hibah hanya boleh dibuat sekiranya jumlah aset TH melebihi jumlah liabilitinya.
Malangnya pengurusan Tabung Haji pada 2014 - 2018 membayar hibah atau dividen biarpun TH mengalami kerugian.
"Dalam Akta Tabung Haji berkata dengan sangat jelas, hibah boleh dibuat dalam satu tahun, jumlah aset TH lebih daripada jumlah liabiliti. Aset adalah harta yang ada, liabiliti adalah hutang piutang," katanya.
Katanya, wang simpanan pendeposit bukan aset dan tidak boleh disandarkan untuk membayar dividen.
"Simpanan pendeposit bukan aset kepada TH, bila kita mencarum, letak duit, bagi TH bukan aset tetapi liabiliti sebab mesti pulangkan bila tiba waktu seseorang kerjakan haji.
"Dia mesti menunjukkan keuntungan TH lebih daripada disimpan baru boleh bayar hibah," katanya.
Oleh itu, kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berlaku apa yang disifatkannya sebagai “perakaunan kreatif” apabila kedudukan kewangan negatif TH dipersembahkan sebagai positif.
"Perakaunan kreatif, ia negatif pusing jadi positif. 2015 TH rugi RM1.4 bilion tetapi dia pusing.
"Itulah yang berlaku tahun 2014 - 2018. Dalam akta tak boleh dibayar tetapi dibayar juga. Adakah ia satu kesalahan. Ya. Siapa menentukan? Mahkamah," katanya.
Isu FELDA
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menyentuh mengenai FELDA dan memetik tokoh korporat Allahyarham Tan Sri Raja Alias sebagai Pengerusi FELDA paling lama, dengan tempoh hampir 30 tahun.
Beliau berkata, bapanya, bekas Ketua Pengarah Kumpulan Syarikat FELDA, Datuk Mohamed Fadzil Yunus, pernah mengambil pengajaran daripada Raja Alias supaya berhemat dan menguruskan kewangan agensi orang Melayu sebaik baiknya.
"Apa yang ayah saya belajar dari Raja Alias, jangan ambil benda yang tak patut. Duit FELDA duit orang Melayu yang terlibat dalam skim rancangan FELDA," katanya.
Menurut Fahmi, bapanya berpegang kepada prinsip bahawa wang FELDA bukan wang politik dan tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya.
Oleh itu, katanya, pada tempoh awal perjalanan kewangan FELDA amat baik dan dana simpanan agensi itu berbilion ringgit pada 1990an.
Justeru, Fahmi berkata laporan penuh siasatan FELDA dijangka didedahkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, namun beliau enggan mendahului proses berkenaan.
"Dalam masa beberapa minggu lagi laporan penuh siasatan FELDA, saya tahu tetapi saya tak mahu dahului proses. Biar maklumat tentang FELDA ini dikeluarkan mengikut jeda waktunya," katanya.
Fahmi juga mempertahankan rekod bapanya dengan menyatakan kehidupan keluarganya selepas persaraan tidak menunjukkan kekayaan luar biasa.
"Ayah saya lepas pencen tak ada duit berkepuk-kepuk. Anak-anak tak ada duit berjuta juta dalam akaun," katanya lagi.




Comments