Sebanyak 47 muka surat dihitamkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang didedahkan kepada awam dibuat di atas pertimbangan faktor keselamatan.
Hal itu dijelaskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam sewaktu memulakan sesi perbahasan laporan terbabit.
"Saya telah pun menerima laporan ini lebih awal dan telah panggil menteri (Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said) untuk dapatkan penjelasan dan oleh kerana kita ada Peraturan Mesyuarat 27(3) usul-usul menteri dan saya juga tanyakan juga menteri muka surat yang dihitamkan ini, ia melibatkan kedaulatan dan sensitiviti, ia melibatkan benda-benda yang mungkin yang berhormat boleh bertanyakan dalam Dewan tetapi ia tidak dicetak.
"Jadi untuk menjaga kemasalahan politik dan juga masalah keselamatan negara dan untuk itu yang berhormat boleh bertanya menteri, tidak ada masalah dan saya benarkan.
"Cumanya ia tidak dibuat dalam bentuk hitam putih. Itu saja," katanya dipetik.
Johari berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang meminta penjelasan daripada Johari mengenai buku laporan setebal 217 muka surat itu dengan menyatakan sebanyak 47 muka surat dipadamkan.
Beliau berkata laporan RCI yang mahu dibahaskan itu dianggap cacat kerana tidak menerangkan fakta dalam 47 muka surat tersebut dan anggota dewan tidak boleh membahaskannya secara teliti dan berwibawa.
Beliau juga membawa isu apakah laporan tersebut layak untuk dibahaskan.
Terdahulu, Tun Mahathir juga menggunakan alasan tersebut. Membayangkan 47 muka surat itu amat penting kepada keseluruhan laporan setebal 217 muka surat.
Sidang lewat petang semalam ditangguhkan ke tarikh yang belum ditentukan kerana sesi Dewan Rakyat bagi meluluskan Belanjawan 2025 telah berakhir. Persidangan seterusnya dijadualkan pada Februari 2025.
Comments