top of page

Rayuan pembebasan Rosmah tidak harus ditarik, wujud persepsi negatif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
ree

Tindakan pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu yang membebaskan Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dipersoal Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar).


Pemimpin KEADILAN Johor itu menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Pendakwa Raya yang dianggapnya akan menimbulkan persoalan besar dan spekulasi melibatkan kes berkepentingan awam.


"Saya menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Pendakwa Raya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024 yang membebaskan Rosmah Mansor dalam kes tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jimmy mengakui kuasa Pendakwa Raya adalah berlandaskan peruntukan undang-undang.


Namun, katanya, dalam kes berkepentingan awam seharusnya proses undang undang dibiarkan berjalan bagi mengelak tangapan negatif rakyat.


"Walaupun tindakan tersebut adalah dalam ruang kuasa yang diberikan oleh undang-undang di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, namun kes ini melibatkan kepentingan awam yang sangat besar, maka adalah lebih wajar jika Mahkamah Rayuan diberi ruang untuk membuat keputusan akhir tanpa dihentikan begitu sahaja melalui penarikan balik rayuan," katanya.


Beliau menegaskan bahawa keputusan menarik balik rayuan tersebut menuntut penjelasan segera daripada Peguam Negara bagi memastikan ketelusan proses perundangan.


"Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka berhubung alasan dan pertimbangan yang mendorong keputusan menarik balik rayuan ini."


Jimmy turut menekankan bahawa ketelusan amat penting, lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan individu berprofil tinggi dan perhatian umum.


"Ketelusan amat penting dalam kes ini bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara tidak terhakis, lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan tokoh berprofil tinggi," katanya lagi.


Pihak pendakwaan telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu yang membebaskan Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Dalam laporan Malaysiakini, notis yang dilihat portal media itu menunjukkan penarikan balik rayuan berkenaan dibuat pada 9 November, yang kemudiannya bermaksud rayuan itu terbatal, seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 73 Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page