Rancangan Selangor-2 perkasa penyertaan wanita dalam pekerjaan - Exco
- Suara Keadilan
- Apr 23
- 1 min read

Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan memperkenalkan pelbagai program bagi pembangunan potensi wanita dan belia dalam sektor pekerjaan.
Exco Sumber Manusia Selangor V Papparaidu berkata, RS-2 juga akan melaksana inisiatif menyokong wanita kembali ke dunia pekerjaan serta menangani diskriminasi gender di tempat kerja.
Selain itu kerangka kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusif (DEI) bakal diperkenal sebagai strategi meningkatkan 60 peratus penyertaan wanita dalam pekerjaan termasuk jawatan tinggi.
"Rancangan ini turut akan menggalakkan keusahawanan digital kepada kalangan suri rumah dan wanita luar bandar.
"Kita mahu belia dan wanita di Selangor bukan sekadar bekerja tetapi berkembang untuk memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negeri," katanya dipetik.
Menyentuh mengenai usaha membangunkan golongan belia beliau menjelaskan, RS-2 akan memberi perhatian khusus kepada bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta sektor-sektor seperti logistik, teknologi hijau dan ekonomi digital.
Usaha tersebut bakal dijalankan secara kolaboratif bersama institusi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Universiti Selangor (UNISEL).
"Kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri untuk memberi latihan dan membuka peluang pekerjaan kepada belia, termasuk jaminan kerjaya," jelasnya.
Comments