Rancang sasaran kerusi bukan gelojoh, tetapi persiapan rapi - AMK Johor
- Suara Keadilan
- Aug 29
- 2 min read

Sasaran kerusi yang mahu didapatkan oleh KEADILAN Johor dalam pilihanraya akan datang bukan bermakna parti itu tidak cakna keperluan rakyat atau mengamalkan politik semberono.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) berkata, tindakan KEADILAN Johor menetapkan sasaran awal kerusi pilihanraya adalah perancangan jangka panjang untuk menang di sesuatu kawasan.
Beliau berkata demikian membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, yang menyifatkan cadangan KEADILAN untuk mendapatkan beberapa kerusi parlimen pembangkang sebagai 'gelojoh', dan sepatutnya KEADILAN memberi tumpuan menyelesaikan masalah rakyat.
"Saudara, tak tepat mengatakan merancang sasaran kerusi awal untuk kita tandingi dalam pilihanraya sebagai gelojoh, apatah lagi kita abaikan terus isu-isu yang melibatkan rakyat. Dalam politik, kedua-duanya berjalan seiringan," tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah membuat susunan awal adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik, termasuk UMNO.
"Bohonglah kalau UMNO tidak merancang awal strategi bagaimana untuk menang dalam pilhanraya dan kerusi mana yang mereka ingin ditandingi dalam pilihanraya akan datang," katanya.
Faezuddin menjelaskan bahawa agenda utama sesebuah parti politik ialah menang pilihanraya, menubuhkan kerajaan yang stabil dan seterusnya menyelesaikan masalah rakyat melalui dasar dan program berkesan.
"Jadi, kita janganlah hipokrit. Niat KEADILAN Johor murni. Dengan tetapkan sasaran awal, boleh runding dengan rakan-rakan dan selesai lebih awal sebagai persediaan mewujudkan suasana politik yang stabil.
"Apabila stabil, akhirnya rakyat juga yang akan dapat manfaat jangka panjang," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sifat gelojoh atau tamak hanya wujud apabila ada pihak yang enggan berunding dan cenderung membolot semua kerusi atau jawatan.
"Melainkan, ada pihak yang mengaku berkawan tetapi enggan berunding, enggan berkongsi dan cenderung membolot hampir semua kerusi atau jawatan. Saudara, rasanya inilah contoh tepat bagi gelojoh atau tamak," katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diadakan dalam tempoh lebih setahun daripada sekarang bergantung sama ada PRN mahu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke 16 atau dilakukan secara berasingan sebagaimana pada 2022 lalu.
Untuk rekod, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebelum ini menyatakan bahawa parti itu berminat untuk mendapatkan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya akan datang.
Kerusi parlimen yang diintai KEADILAN adalah Muar, Pagoh dan Mersing. KEADILAN juga berminat bertanding dalam beberapa kerusi DUN dalam parlimen berkenaan.
Comments