top of page

Rampasan durian peniaga tanpa permit: PBT Miri perlu cari solusi lebih baik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Ketibaan musim durian dan penjualan buah durian oleh penduduk tempatan secara yang tidak teratur seharusnya ditangani dengan lebih berhemah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Miri, Sarawak.


Bagi Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar), Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu mengambil pendekatan lebih berhemah dan berperikemanusiaan dalam menangani isu penjualan durian tanpa permit di bandaraya itu.


Beliau berkata, musim durian bukanlah sesuatu yang baharu, berlaku pada setiap tahun dan seharusnya diurus dengan kebijaksanaan, bukannya tindakan menekan peniaga kecil yang bergantung kepada jualan bermusim sebagai sumber rezeki.


"Ini musim durian... bukan suatu yang baharu. Saya ingin bertanya kepada Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Bandar MBM dan PBT, adakah ini cara terbaik untuk menangani isu jualan durian di Miri?" katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan penguatkuasa merampas jualan durian penduduk tempatan di Bandaraya Miri baru baru ini
Pasukan penguatkuasa merampas jualan durian penduduk tempatan di Bandaraya Miri baru baru ini

Roland menegaskan bahawa walaupun penjualan di kawasan larangan atau tanpa permit merupakan kesalahan, keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan peniaga kecil perlu diberi keutamaan.


"Semua pihak perlu mencari titik pertemuan yang seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan peniaga durian di Bandaraya Miri," ujarnya.


Menurut beliau, tindakan merampas durian yang sedang dijual adalah tidak wajar dan disifatkan sebagai terlalu keras terhadap peniaga kecil.


"Pada saya, rampasan buah durian yang sedang dijual tidak wajar. Tindakan yang lebih bertimbang rasa ialah meminta peniaga berpindah ke tempat yang ditetapkan atau membenarkan mereka mengambil semula durian tersebut. Rampasan bukan solusi terbaik," tegasnya.


Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar MBM memperkenalkan sistem peraturan, polisi serta kemudahan yang lebih tersusun pada masa hadapan, termasuk melalui sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.


"Untuk masa hadapan, MBM perlu memperkenalkan suatu peraturan, polisi dan kemudahan yang lebih baik. Ini boleh dicapai setelah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak. Kesejahteraan rakyat jadi keutamaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page