top of page

Rakyat tidak lupa kegagalan kerajaan Muhyiddin - Wanita KEADILAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 28
  • 1 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Wanita KEADILAN membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan penyokongnya menyerang Kerajaan MADANI secara semberono.


Exco Wanita Pusat, Rosmawaty Muhamad Ros (gambar) berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu perlu bermuhasabah dan sedar diri bahawa negara ini pernah berhadapan dengan ketidakstabilan politik yang parah ketika era pentadbiran beliau (2020 - 2021).


"Rakyat masih belum lupa bagaimana pentadbiran PN ketika itu dicemari krisis kepercayaan, dasar-dasar yang celaru serta kegagalan menangani pelbagai cabaran, termasuk krisis kesihatan dan ekonomi.


"Ketika itu, rakyat menjadi saksi bagaimana kelemahan kepimpinan telah melumpuhkan keyakinan terhadap kerajaan dan merencatkan kemajuan negara," kata dalam satu kenyataan.


Beliau turut menempelak Muhyiddin yang terus mempersoalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan.


Rosmawaty menegaskan, kerajaan hari ini dibentuk secara sah melalui Pilihan Raya Umum ke-15 dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


"Mempersoal keabsahan kerajaan ini merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan amat tidak wajar datang daripada seorang bekas Perdana Menteri.


"Ia hanya menunjukkan kesanggupan beliau menanam sentimen kebencian serta memainkan emosi rakyat demi kepentingan peribadinya," tambahnya.


Menerusi kenyataan sama beliau menegaskan bahawa masa depan negara harus dipandu oleh pemimpin yang mengutamakan perpaduan dan penyatuan rakyat, bukan pemecah belah negara dengan retorik jalanan.

Tumpuan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini adalah memulihkan ekonomi, memperkukuh institusi, memerangi rasuah dan memperjuangkan nasib rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang.


"Malaysia tidak perlukan sandiwara politik berulang kali. Kita perlukan kestabilan politik untuk menarik pelabur dan memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan," tegas Ketua Biro Kebajikan Wanita Pusat itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page