Rakyat Selangor tidak terpengaruh retorik Gelombang Hijau PN
- Suara Keadilan
- Jan 18, 2023
- 2 min read

Propaganda Pas Selangor dengan retorik Gelombang Hijau akan menguasai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak berpijak di bumi nyata.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, retorik bersifat fitnah dan adu domba pihak Pas atau PN seharusnya dihentikan kerana rakyat Selangor terutama anak muda masih waras untuk berfikir parti mana yang lebih layak mentadbir.
"Anak-anak muda di Selangor tidak mudah terpengaruh dengan “Retorik Gelombang Hijau” yang hanya berunsur fitnah dan tohmahan mengarut seperti “undi Pas masuk syurga”.
"Rakyat Selangor masih waras serta mengetahui dengan jelas unsur unsur penunggang agama. Seluruh rakyat Selangor juga menolak perbuatan ekstremis agama dan menganggapnya seperti Gelegar Buloh (cakap besar)," katanya dalam kenyataan.
Bagi Halimey, serangan pembangkang mengenai kekurangan kemudahan insfrastruktur negeri pula tidak akan berkesan kerana Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai peruntukan untuk memperbaiki, menaiktaraf atau membina kemudahan awam di Selangor.
"(Misalnya) Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM50 juta bagi Projek Turapan Jalan Raya yang akan dilaksanakan tahun ini bermula dalam masa terdekat.
"Komitmen Kerajaan Negeri untuk membaik pulih, menyelenggara serta menaiktaraf fasiliti kemudahan awam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan diteruskan menerusi Projek Selangor Penyayang Fasa 2 dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap DUN dan akan bermula akhir Februari 2023.
"Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan satu Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN," katanya.
Selian itu, katanya sepanjang tempoh Pakatan Harapan menerajui Selangor pelbagai inisiatif khususnya untuk rakyat Selangor telah berjaya di lakukan.
Sebanyak 44 program Kerajaan Negeri dari anak yang baru lahir sehingga di hujung usia, ujar Halimey, dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan mendapat respon yang baik, bahkan turut dicemburui oleh bukan warga Selangor.
Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu juga menasihatkan penyokong PN selain membaca Harakah, lidah rasmi Pas, bacalah juga media terbitan Kerajaan Negeri yang menerangkan pelbagai inisiatif disediakan agar tidak terlajak mentohmah isu isu yang telah diselesaikan sebagai modal politik.
"Penerangan KEADILAN Selangor ingin menasihatkan kepada seluruh anggota Pas Selangor selain membaca surat khabar Harakah harus turut membaca surat khabar SelangorKini, ia adalah percuma dan boleh juga ikuti perkembangan Selangor melalui saluran Media Selangor atau Pusat Informasi Negeri Selangor (PiNS) kerana mereka ini dilihat kurang mendapat maklumat tentang Program-Program Kerajaan Negeri," katanya.
Penerangan Keadilan Selangor juga, kata Halimey ingin menasihatkan Pas Selangor agar tidak salah berangan sebaliknya harus berpijak di bumi nyata.
Commentaires