top of page

Rakyat perlukan penyelesaian, bukan retorik murahan pembangkang - Farahida

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 27
2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Exco Wanita KEADILAN Pusat, Farahida Fauzi (gambar) mengecam kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mempersoalkan pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun.


Menurutnya, kenyataan Saifuddin itu bukan sahaja mengelirukan malah mencerminkan satu bentuk politik tidak berprinsip dan hipokrit.


"Ia lebih-lebih lagi datang daripada seorang tokoh yang pernah menjadi Ahli Parlimen KEADILAN, kemudian meninggalkan parti, dan seterusnya memilih untuk bersama Bersatu, sebuah parti yang kini jelas memainkan politik persepsi dan sentimen sempit.

"Hakikatnya, seseorang yang mengkhianati mandat rakyat tidak lagi mempunyai kedudukan moral untuk mempersoalkan dasar atau menteri-menteri Kerajaan MADANI," kata Farahida dalam kenyataannya.


Saifuddin sebelum ini mempersoalkan hala tuju sebenar Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pendaftaran murid Tahun 1 seawal usia 6 tahun menjelang 2027 susulan beberapa kenyataan Fadhlina yang didakwanya mengelirukan.


Sementara itu Farahida menegaskan, semua kenyataan dibuat Menteri Pendidikan yang menjelaskan kemasukan murid enam tahun bukanlah berdasarkan paksaan, sebaliknya kemasukan itu satu opsyen kepada ibu bapa dan sedang dinilai secara profesional oleh Kementerian Pendidikan berdasarkan kajian, selari dengan amalan pendidikan moden.


"Kemasukan murid enam tahun bukanlah dasar paksaan, sebaliknya satu opsyen yang memberi pilihan kepada ibu bapa, selari dengan pendekatan pendidikan antarabangsa dan prinsip keanjalan sistem pendidikan moden.


"Pendekatan ini sedang dinilai secara profesional oleh Kementerian Pendidikan, berasaskan kajian, data dan kepentingan terbaik anak-anak, bukan dibuat secara semberono atau bermotif politik," tambahnya.


Menerusi kenyataan tersebut beliau menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan membina sistem pendidikan yang inklusif, adil dan berperikemanusiaan, serta setia kepada amanah rakyat.


Beliau menambah, sekiranya Ahli Parlimen pembangkang itu benar-benar ikhlas mahu menyumbang kepada pendidikan negara, beliau seharusnya mengemukakan cadangan konkrit, berasaskan kajian dan pengalaman, bukannya menyerang secara retorik terhadap seorang menteri yang sedang berusaha melaksanakan reformasi sistemik.


"Apa yang lebih penting, rakyat hari ini menuntut penyelesaian kepada isu sebenar pendidikan negara. Rakyat tidak memerlukan polemik murahan yang hanya bertujuan mencetuskan kekeliruan dan ketakutan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page