Rakyat perlu adil, terbuka menilai dasar diperkenal kerajaan - Mohamad Sabu
- Suara Keadilan
- May 28
- 1 min read

Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat agar bersikap adil dan terbuka dalam menilai setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan MADANI.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu berkata, tiada mana-mana kerajaan yang waras mahu menyusahkan rakyat apatah lagi menghancurkan negara sendiri melalui dasar-dasar yang diperkenalkan.
"Setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan kajian, libat urus dan pertimbangan menyeluruh demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan.
"Ada inisiatif mengambil masa untuk menunjukkan hasil dan ada juga yang memerlukan beberapa tahun sebelum kesannya benar-benar dirasai oleh rakyat dan negara," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mohamad sementara itu membawa contoh dasar dilaksanakan terutama penamatan kawalan harga dan subsidi ayam bermula 1 Nov 2023 yang membawa kesan positif kepada bekalan bahan mentah itu sekarang dengan harga lebih murah dari sebelumnya.
"Ia dilaksana dengan usaha lain antaranya membuka semula reban ayam yang ditinggalkan, menaik taraf kepada sistem reban ayam tertutup serta menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penternak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam negara secara mampan dan berdaya saing.
"Langkah ini antara lain mengurangkan ketirisan subsidi yang dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi sekaligus memastikan penjimatan diperoleh dapat disalurkan semula kepada sektor ternakan secara lebih berfokus dan strategik.
"Penamatan subsidi dan kawalan harga ayam itu membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan wang tunai," tegasnya.
Comments