
Kenaikan harga barang dan inflasi melampau ketika ini menyebabkan rakyat marhaen berjimat cermat sehingga ke tahap mencatu makanan keluarga.
Namun dalam keadaan segenting itu Kerajaan BN - PN pula sibuk mencatur kuasa.
Hal itu dibangkitkan dalam flashmob yang dianjurkan oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Klang, Kota Raja dan Kapar, semalam.
Bagi Shahrul, Ketua AMK Kelang, apa guna kerajaan BN - PN berkuasa sekiranya kehidupan rakyat semakin sukar dan terhimpit.
"Kami mendesak kerajaan untuk turun padang dan lihat kesusahan rakyat. Rakyat hari ini sibuk mencatu makanan tetapi kerajaan mencatur kuasa.
"Bila harga meningkat menteri umum naik bantuan BKM RM100, RM50 untuk bujang. RM50, RM100 berapa lama boleh tahan? Kalau insentif untuk lawan kenaikan harga barang, tidak mencukupi.
"Kerajaan perlu buat polisi turunkan harga terutama barang keperluan asas. Hari ini rakyat makin susah dan inflasi tinggi.
"Kita tidak mahu negara ini mengalami hiper-inflasi," katanya.

Manakala bagi aktivis KEADILAN Kota Raja, Danish Hairuddin, kerajaan BN - PN perlu menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab dalam memimpin dan bukan menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk mengatasi masalah kehidupan mereka.
"Hari ini anak muda luahkan rasa kesal kepada Perdana Menteri, kerajaan terhadap ekonomi negara. Apa yang mengecewakan kami, apabila berlaku krisis ekonomi di mana inflasi meningkat jawapan menteri mudah; harga sayur naik, tanam sayur belakang rumah. Harga ayam naik, ternak ayam belakang rumah. Adakah ini jawapan bertanggungajwab?
"Kami mendesak kerajaan agar mempunyai keazaman politik bantu rakyat.
"Isunya harga ayam naik RM11 sekilo. Zaman PH memerintah harga ayam RM5.99. Selang 2 tahun bagaimana inflasi itu boleh meningkat dengan mendadak," katanya.

Beliau bertekad AMK akan menimbulkan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menyedarkan kerajaan yang disifatkan 'tidur' dan tidak tahu menyelesaikan masalah negara.
"Kami akan menimbulkan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia terutama di Klang, Kapar, Kota Raja untuk bangkit tentang apa berlaku hari ini.
"Jika kos sara hdiup tak selesai rakyat akan lebih tertekan. Ini satu sistem yang kita perlu ubah dan kami desak kerajaan benar benar ada tekad politik bantu rakyat.
"Menteri jangan tidur, bantulah rakyat, bantu kami," katanya lagi.
Flashmob tersebut berjalan lancar di Jalan Jambatan Kota Klang. Kira kira 20 peserta terlibat menaikkan sepanduk dan pemandu menyambut dengan membunyikan hon tanda sokongan. Pihak polis hadir untuk mengawal kelancaran lalu lintas.