Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, tidak banyak pilihan yang terhidang di hadapan rakyat negeri itu.
Bagi Ketua Unit Calon Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) KEADILAN, Datuk Romli Ishak, rakyat Melaka hanya ada satu pilihan, iaitu ke arah mewujudkan Kerajaan Negeri yang stabil dan tidak lagi bersengketa sehingga DUN perlu dibubarkan.
Oleh itu, katanya, memilih parti yang bergaduh sesama sendiri untuk kembali memerintah bukanlah pilihan yang rasional.
Beliau membawakan peristiwa pengkhianatan Langkah Sheraton di peringat Persekutuan pada 2020 dan menyebabkan pemimpin tidak berkualiti terkeluar daripada Pakatan Harapan lalu meninggalkan pemimpin yang boleh diyakini.
"Bila berlaku pengkhiantan, jatuh kerajaan ada hikmahnya. Sekelompok manusia melakukan pengkhianatan dan terkeluar. Pemimpin yang tidak menunaikan tanggungjawab terkeluar. Hari ini rakyat nampak dengan jelas apa yang boleh percaya dan tidak
"Begitu juga di Melaka hari ini, rakyat jelas, pemimpin bergaduh sesama sendiri rakyat yang menanggung
"Di Melaka hari ini rakyat tak banyak pilihan. Pilihan mereka hanya satu, kestabilan. Perlu pilih parti yang bawa kestabilan kepada negeri. Tanpa kestabilan negeri tidak boleh maju.
"Dengan kekalutan politik rakyat jadi keliru. Berlaku cerita 'pasir berdengung', puncanya pasir, rakyat yang menderita," katanya dalam bual bicara politik Studio Pasir Berdengung PRN Melaka, malam tadi.
Ditanya, benarkah tanpa Umno-BN negeri Melaka akan lemah dan tidak mampu membangun sebagaimana sebelumnya sebagaimana dipasakkan oleh media arus perdana ke dalam minda rakyat, Romli menyangkal hal itu.
Katanya, perkara yang utama adalah kepimpinan. Beliau membawa contoh Korea Selatan dan Indonesia. Rakyat di sana tidak mengutamakan parti tetapi peribadi dan ketokohan pemimpin. Sebab itu dua negara berkenaan kini dihormati dunia.
"Pada saya bukan soal Umno lemah maka lemah negara tetapi bergantung kepada ketokohan seseorang pemimpin. Dalam keadaan hari ini pemimpin yang ada terlalu lemah dan tidak jelas hala tuju.
"Saya kongsi pengalaman dengan masa pergi ke Korea Selatan, waktu hadir sidang di sana. Kebetulan bertemu seorang profesor universiti. Dia teruja bila tahu saya dari Malaysia dan salah seorang nama dia sebut adalah Tun Razak. Dia kata waktu dia muda tahun 1970an, dia cukup kagum dengan Malaysia, terutama Tun Razak. Pada masa itu kedudukan Korea dan Malaysia, negara ini jauh ke depan sebab Malaysia mempunyai kepimpinan hebat, hala tuju jelas, projek besar, Felda, PNB dan sebagainya.
"Pada mata rakyat Korea, Malaysia contoh terbaik. Tetapi selepas itu dia tanya, apa jadi dengan negara kamu? Kami lihat kamu mundur ke belakang dan kami pula ke depan. Korea tak subur tanahnya seperti Malaysia, kita ada mineral, jauh lebih baik dari mereka.
"Di mana silap kita jauh ketinggalan? Puncaya adalah kepimpinan. Bila negara dipimpin oleh pemimpin yang fikirkan soal diri dan keluarga mereka, berbanding soal rkayat.
"Bila itu berlaku akhirnya negara mundur dan jauh tertinggal. Kita tengok jiran Indonesia. Hanya seorang presiden yang punya integriti dan kepimpinan baik, dia berjaya angkat martabat negara menjadi kebanggaan serantau," katanya.
Romli yang juga mantan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah ketika pemerintahan Pakatan Harapan turut berkongsi sedikit pengalaman mengenai pemilihan calon yang dilakukan oleh pasukannya.
Kata beliau, pemilihan calon KEADILAN sama ada untuk PRN atau PRU cukup ketat dan melalui pelbagai proses sehingga rakyat tidak perlu khuatir calon yang ditawarkan mempunyai prestasi buruk atau tidak 'buat kerja di kawasan'
"Tak ada parti dalam Malaysia yang memilih calon sehebat KEADILAN. Parti lain kita tengok apa sahaja yang dipilih presiden mereka atau pengerusi atau setiausaha agung maka itulah calon.
"Tetapi KEADILAN melalui satu proses tapisan. Kita angkat senarai dari akar umbi. Datang dari Ranting, Cabang, AMK, Wanita, Majlis Pimpinan Negeri lakukan proses, mengadakan temuduga dan bawa nama ke JPRP.
"Kita proses tanpa buang satu nama pun. Kita dapatkan pandangan akar umbi tentang seseorang calon. Tentunya yang buat keputusan pemimpin tertinggi.
"Presiden memilih berdasarkan pandangan semua peringkat. Sebab itu dalam parti ini ada calon berumur dan ada yang sangat muda (namun semuanya berkualiti)," katanya lagi.
Commentaires