top of page

Rakyat beri markah penuh usaha KDN operasi banteras pendatang - Saifuddin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Rakyat memberi reaksi paling positif setiap kali kerajaan menjalankan operasi membanteras kebanjiran pendatang asing, dengan tindakan terbaharu di Selayang, Selangor menerima pujian netizen yang melihat usaha berkenaan sebagai langkah tegas menangani keresahan mereka.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, kebanjiran pendatang asing dan pelarian merupakan isu paling kritikal yang dihadapi pihaknya dan Kerajaan MADANI pada waktu ini.


"Apa yang rakyat paling kritikal terhadap kementerian dan kerajaan secara keseluruhannya? Ia adalah (tentang) kebanjiran pendatang asing dan pelarian.


"Sekali kita buat operasi seperti di Selayang baru-baru ini, cuba tengok komen dalam sosial media… markah penuh (diberi oleh netizen).. yang itu (operasi) adalah usaha yang paling disukai.


"Rakyat tengok bahawa Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kerajaan ada mengambil tindakan ke atas perkara yang menjadi punca keresahan rakyat," katanya dalam ucaptama sempena perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.


Bagaimanapun, di sebalik operasi dijalankan itu, Saifuddin berkata, salah satu daripada enam rukun Malaysia MADANI tidak dilupakan iaitu ihsan.


Katanya, pendatang asing dan pelarian tidak akan sanggup mempertaruhkan nyawa untuk datang ke Malaysia sekiranya negara asal mereka tidak dilanda pergolakan.


"Kalau selamat, kalau tak (selamat)… kena pergi cari.. Macam baru-baru ini (operasi paling besar di perairan Malaysia), 43 mangsa ditemui.. 14 selamat dan bakinya meninggal dunia.


"Mana mungkin dia boleh belayar jauh berminggu-minggu.. Sebab dia kata Malaysia ini syurga.. kita kena ada ihsan," katanya lagi.


Di sisi lain pula kata Saifuddin, kerajaan Malaysia bukan penandatangan kepada Konvensyen Pelarian 1951 namun pada masa sama KDN merupakan ‘barisan paling hadapan’ dalam membentuk wajah negara daripada sudut pandang antarabangsa seperti isu-isu hak asasi dan sebagainya.


"Jadi apa kita buat? KDN nak kena jaga keamanan dan keselamatan. Jadi nak kena buat macam mana?


"Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail jumpa keluarga Indira Gandhi (berkaitan insiden tembakan di Alor Gajah, Melaka). Kemudian (tentang) keputusan mahkamah, orang hilang Pastor Koh, Amri Che Mat. Itu semua isu-isu dinamik yang memerlukan KDN lakukan secara berprinsip.


"Saya mudah, ceritakan semua yang betul. Cari kebenaran berdasarkan prinsip undang-undang, jadi kita boleh tidur nyenyak seperti kita uruskan ketika gelombang tinggi dalam isu adik Zara Qairina.


"Tinggi gelombangnya, panas bahangnya dan sama-sama kita buat keputusan iaitu Parlimen tempatnya. Ya, prinsipnya nak cari kebenaran dan ia hanya boleh dicari bersandarkan kepada undang-undang.


"(Kebenaran tidak boleh dicari) melalui komen di TikTok, sosial media dan sebagainya. Lalu kita usulkan apa? Gali semula dan inkues. Alhamdulillah (keadaan secara) relatifnya reda, tiada lagi demostrasi besar walaupun tak semua boleh setuju dengan kita," kata beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page