Rakyat AS, Eropah mula pertikai serangan ganas Israel - Khalid
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sokongan terhadap Israel semakin hari semakin menipis, malah rakyat di United Kingdom (UK), Perancis dan Amerika Syarikat (AS) kini semakin lantang mempertikaikan tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Itu kata Pengerusi AMANAH Wilayah, Khalid Abd Samad sewaktu memberi ucapan pada Himpunan Tolak Perang berlangsung berhampiran Kedutaan AS, di ibu negara hari ini.
''Alhamdulillah ini merupakan 'perkiraan' Israel yang tersilap.. mereka ingat sokongan rakyat Amerika seperti dulu.. buat apa pun tak apa.. Amerika akan bersama Israel.. (tapi) tidak..
''Allah telah menjadikan peristiwa ini sebagai kemuncak.. InsyaAllah penolakan Israel bukan sahaja oleh umat Islam dan negara Timur Tengah, tetapi dunia turut sama menolak Israel atas sebab kezalimannya di Gaza.
''Selepas itu mereka lancarkan serangan ke atas Iran pula malah tindakan itu dipertikaikan oleh masyarakat dunia,” katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH memaklumkan bahawa tiada wakil Kedutaan AS yang keluar menerima surat bantahan tersebut.
Oleh sebab itu, pihaknya terpaksa menyerahkan memorandum berkenaan dengan memasukkannya ke dalam peti surat dan hanya berkomunikasi melalui interkom.
Untuk rekod, serangan Israel ke atas Iran memasuki hari kelapan. Sekurang kurangnya lebih 10 orang jeneral tentera, pegawai polis, saintis nuklear dibunuh melalui serangan bersasar.
Manakala lebih 200 orang awam Iran yang tidak berdosa telah terbunuh dalam pengeboman yang didakwa Israel untuk 'memusnahkan' reaktor nuklear Iran.
Comments