Isu rakaman perbualan didakwa di antara Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi tidak perlu diperbesar-besarkan sehingga berhari-hari lamanya kerana tidak menyalahi undang-undang negara.
Pakar Undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata, tiada sebab polis perlu menyiasat hal itu selagi tidak membabitkan unsur-unsur jenayah.
"Saya ada mendengar satu video menyatakan Ketua Polis Negara akan memanggil kedua-dua ahli politik ini. Cuma soalan yang saya ingin tanyakan adakah (wujud) kesalahan jenayah atau unsur jenayah dalam perbualan yang dikatakan mirip Zahid dan Anwar itu? Ini yang sebenarnya perlu ditanyakan. Bukan soal betul atau tidak
"Saya masih ingat sewaktu di England pertengahan 1990an dahulu, ada satu rakaman yang dikatakan perbualan di antara Putera Charles dengan Camilla Parker Bowles yang waktu itu masih lagi berkahwin, dan isu itu sesuatu yang hangat tetapi tidak ada pihak polis mengambil bahagian menyiasat dan sebagainya. Walaupun isu berkenaan menjadi gosip yang panas di United Kingdom pada waktu itu tetapi tidak ada elemen seperti pembocoran rahsia negara, jenayah dan sebagainya. Jadi polis tidak peduli.
"Jadi di sini apa yang saya lihat dalam kes atau perbualan di antara dua tokoh politik tadi, tidak ada perkara menyentuh isu berkenaan. Jadi apa yang nak disibukkan?" tanyanya dalam siaran Facebook langsung, semalam.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi, isu yang lebih relevan diperbesarkan adalah rakaman seorang menteri kanan dalam video 'kabur' beberapa tahun lalu atau isu rakaman suara Ahli Parlimen Pagoh yang cuba memujuk Ahli Parlimen menyertai Perikatan Nasional secara memberikan jawatan kerajaan.
"Dalam masa yang sama, apa sudah jadi dengan siasatan seorang menteri yang dikatakan terlibat dalam seks luar tabii itu? Sampai sekarang masih belum diketahui hasilnya atau keputusannya, apakah sudah diserahkan kepada Peguam Negara atau tidak? Ini satu perkara yang lebih penting kerana melibatkan jenayah.
"Walaupun undang-undang shariah telah diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah tetapi masih ada peruntukan di bawah Kanun Kesiksaan.
"Begitu juga satu audio yang menyerupai Pagoh, yang menyatakan antara lain bahawa untuk menarik Ahli Parlimen menyertai PN ialah dengan memberikan jawatan yang nampaknya ada unsur-unsur rasuah.
"Itu audio atau rakaman (tersebut) lebih menyentuh atau menghampiri kesalahan-kesalahan tertentu Kanun Kesiksaan, Akta Multimedia atau Akta Hasutan berbanding yang ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Dr Aziz mahu rakyat berhenti daripada membincangkan isu rakaman suara berkenaan kerana ia tidak lebih daripada strategi mengalihkan isu kerajaan PN daripada kegagalan mereka memulihkan ekonomi, rasuah, membendung Covid 19 dan sebagainya.
Sebarang usaha menyiasat perkara itu, kata Dr Aziz, hanya membazirkan masa polis dan menghabiskan peruntukan kerajaan sahaja.
Comments