Berbaki negeri Sarawak yang belum dikira undi dalam Pemilihan KEADILAN 2022, calon nombor 1 Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka menang dalam keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti.
Rafizi setakat pukul 10 malam mendapat 67,895 undi manakala calon nombor 2, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendapat 48,797 undi.
Saifuddin hanya mengatasi Rafizi di Perlis dan Sabah. Sedangkan Rafizi unggul di negeri selebihnya.
Jurang majoriti sebanyak 19,098 undi dikira tidak mungkin boleh ditampung oleh "undi ragu" sebanyak 5,147 yang dikemukakan kepada Rafizi dan 3,896 kepada Saifuddin.
Undi ragu merupakan undi yang memerlukan pengesahan lanjut daripada JPP sebelum boleh disahkan dan ditambah kepada jumlah undi sedia ada.
Bagi kedudukan Naib Presiden pula, Datuk Seri Amirudin Shari mendahului dengan 43,050 undi, diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dengan 28,071 undi undi, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang sebanyak 27,118 undi dan Datuk Seri Aminuddin Harun dengan 26,291 undi.
Keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada Kongres Nasional KEADILAN yang akan diadakan pada hujung Jun ini.
Comments