Rafizi dakwa serangan ke atas anaknya berunsur ugutan
- Suara Keadilan
- Aug 14
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mendakwa kejadian serangan yang menimpa anaknya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam merupakan satu bentuk ugutan terhadap diri beliau.
Menurut Rafizi, selepas kejadian itu berlaku isteri beliau ada menerima beberapa mesej berbentuk ugutan pada semalam dan hari ini.
''Secara jelasnya ini adalah satu ugutan kerana ada mesej-mesej yang terus dihantar selepas kejadian itu.
''Saya telah nyatakan kepada pihak polis bahawa pada hemat saya, ini adalah satu ugutan yang bersabit dengan tugas saya sebagai seorang Ahli Parlimen dan juga ahli politik.
''Tapi alhamdulillah maksudnya isteri dan anak saya berada dalam keadaan yang baik dan keputusan kami ialah 'life must go on' seperti biasa,'' katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Parlimen hari ini berkaitan insiden berkenaan.
Selepas kejadian serangan, mantan Menteri Ekonomi itu berkata, anaknya terus dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, pemeriksaan awal seperti ujian darah telah dilakukan, diikuti dengan tempoh pemerhatian.
Bagaimanapun beliau berkata pemerhatian memerlukan masa sehingga enam bulan sebelum mengesahkan apakah terdapat unsur merbahaya yang disuntik ke dalam tubuh anaknya oleh penyerang.
Kata beliau, hanya suntikan dengan unsur dadah atau racun yang boleh dikesan dalam sehari-dua, manakala suntikan bahan selain itu memerlukan tempoh pemerhatian lebih panjang dan ujian darah secara menyeluruh.
''Berdasarkan pandangan peribadi saya bukan dari perspektif perubatan, terdapat tiga kemungkinan iaitu pertama yang disuntik itu sama ada dadah atau racun.
''Kedua (mungkin) yang disuntik itu berbentuk viral, maksudnya hepatitis, HIV dan lain-lain.. ketiga (ianya cecair) kosong seperti air.
''Sebab itu kita perlu melalui proses ini untuk beberapa bulan. Untuk tempoh 24 jam pertama, selain ujian darah, yang penting adalah pemerhatian.
''Setakat ini pemerhatian itu nampak ok, tidak ada nampak kesan-kesan segera. Anak saya perlu menjalani ujian darah secara berulang iaitu setiap enam minggu kemudian tiga bulan untuk kenal pasti sama ada suntikan itu mengandungi viral (atau tidak),'' katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau selepas ini akan berada dalam kawalan keselamatan lebih ketat namun memberi jaminan tidak akan berhenti mendedahkan sebarang bentuk skandal sebagaimana telah dilakukannya sejak sedekad lalu.
Malah, katanya, ugutan yang diterima pada waktu ini juga mungkin akibat maklumat yang beliau terima daripada pemberi maklumat (whistleblower) pada Rabu lalu, dan beliau dalam proses menyiasatnya.
Comments