Oleh: Redzuan Shamsudin

Pusingan U yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke atas polisi tidak mengenakan kadar faedah bagi peminjam yang memilih moratorium pinjaman sewa beli disifatkan menganiaya rakyat.
Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang berkata, pusingan U tersebut seolah-olah memperolok-olok berita gembira diumumkan oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin bulan April lalu, bahawa peminjam boleh menangguhkan pembayaran pinjaman mereka selama 6 bulan tanpa dikenakan kadar faedah sepanjang tempoh berkenaan.
"Ketika itu perdana menteri memberi contoh keluarga Makcik Kiah dapat jimat RM1800 daripada moratorium pinjaman sewa beli kereta selama 6 bulan. Malangnya, baru sebulan, PN membuat pusingan U atas polisi tersebut.
"Menurut kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), bank akan kenakan faedah moratorium atas pinjaman sewa beli.
"Peminjam diberi 2 pilihan, sama ada membayar penangguhan ansuran terkumpul 6 bulan (April hingga September) bersama ansuran Oktober tanpa dikenakan faedah tambahan, atau lanjutkan 6 bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak dan faedah dikenakan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Lih Kang mengecam sekeras-kerasnya pusingan U tersebut. Katanya, keputusan itu hanya membebankan para peminjam dan menguntungkan industri perbankan. Dua pilihan yang diberi kepada peminjam, menurut Ahli Parlimen Tanjong Malim itu, dianggap tidak munasabah.
"Sekiranya peminjam berupaya membayar balik penangguhan ansuran terkumpul 6 bulan secara sekali gus, mereka tidak perlu mengambil moratorium.
"Maka, kebanyakan peminjam terpaksa memilih pilihan kedua, iaitu melanjutkan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak dan dikenakan faedah tambahan," katanya lagi.
Beliau mempersoalkan, apakah kelebihannya rakyat menyimpan RM1800 yang dijimatkan hanya untuk dibayar pada bulan Oktober supaya tidak dikenakan kadar faedah tambahan.
"Apa makna “penjimatan” ini jika wang yang “dijimat” tidak boleh dibelanja? Polisi yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan keluarga Makcik Kiah yang sebelum ini diuar-uarkan banyak memperolehi bantuan kini menjadi bahan ketawa jiran tetangga.
“Dalam keadaan di mana kebanyakan rakyat hidup dalam kesengsaraan, keputusan kerajaan untuk membuat pusingan U amat mengecewakan. PN telah menyediakan hadiah Hari Pekerja yang amat pahit kepada kaum pekerja di dalam negara kita,” ujarnya sinis.
Oleh yang demikian, Lih Kang mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB memberi penjelasan kepada rakyat bagaimana keputusan yang merugikan itu dibuat. Beliau juga mendesak Zafrul menjelaskan apakah peranannya sebagai wakil rakyat atau wakil industri perbankan.
"Adakah keputusan berkenaan dibuat untuk menjaga kepentingan rakyat atau industri perbankan? Sekiranya Menteri tidak dapat memberi penjelasan yang wajar, beliau harus letak jawatan kerana gagal mempertahankan kepentingan rakyat," katanya.
Comments