Pusat Pemberdayaan Wanita Cabang Kuantan beri inspirasi sayap wanita parti
- Suara Keadilan
- May 24, 2024
- 2 min read

Pusat Pemberdayaan Wanita KEADILAN Cabang Kuantan seharusnya menjadi inspirasi kepada Wanita KEADILAN seluruh negara.
Hal itu dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin ketika beliau melawat ke pusat yang dikenali sebagai TEJA Station itu baru baru ini.
Menurut Atiqah, inisiatif wanita cabang tersebut sangat membanggakan kerana ianya antara yang terbaik diusahakan oleh Wanita KEADILAN dari seluruh negara di dalam menggerakkan organisasi sayap parti.
"Saya berharap agar Ketua Wanita Cabang Kuantan dapat berkongsi pengalaman memperkasakan ahli-ahli Wanita KEADILAN di seluruh negara," katanya dalam kenyataan.
TEJA Station telah diwujudkan di bawah NGO Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan mula beroperasi sejak Mac 2023 di Bandar Putra untuk menjadi platform latihan keusahawanan dan pemasaran produk usahawan mikro sekitar Kuantan.
Sebagai sebuah NGO Wanita Cabang Kuantan, ianya telah berkolaborasi dengan sebuah pusat kemahiran TVET tempatan bagi melibatkan wanita-wanita di Parlimen Kuantan dan sekitar untuk meningkatkan kemahiran diri menerusi latihan-latihan bertauliah SLDN peringkat Sijil Kemahiran 1 dan 2, seterusnya berusaha menjalankan ekonomi masing-masing apabila selesai menjalani kursus.
Mengulas perkara itu, Ketua Wanita KEADILAN Kuantan yang juga Pengerusi WINK, Sridayu Samsuri berkata, pusat tersebut telah berjaya melatih wanita termasuk ibu-ibu tunggal untuk meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing menerusi pelbagai latihan dan inisiatif kerajaan.
Antaranya melalui latihan Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB), Latihan Kemahiran Digital dan Latihan Pengupayaan Pemimpin Wanita.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang menambah, untuk tahun 2024 kursus-kursus berkenaan akan dilaksanakan di semua 14 Cabang di negeri Pahang.
"TEJA Station pula akan diperkasakan bagi memasarkan produk-produk peserta-peserta kursus dan memanfaatkan rangkaian Wanita KEADILAN di seluruh negara untuk tujuan ini," katanya.
Projek terbaru TEJA Station, kata Sridayu ialah menghasilkan tuala wanita daripada kain yang boleh diulang guna untuk menangani isu kemiskinan haid di kalangan wanita miskin termasuk para remaja sekolah.
Melalui kerjasama Yayasan Madani di bawah Senator Fuziah Salleh, katanya, produk berkenaan telah diperkenalkan dan dipromosi di Persidangan Wanita Islam Menangani Isu Palestin di Doha, Qatar pada 11-13 Mei lalu. Produk TEJA Station ini dijangka dihantar ke kawasan perang Gaza Palestin untuk kegunaan wanita di sana selepas ini.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Ketua Pegawai Eksekutif TEJA Skills Sdn Bhd.
댓글