Pusat Khidmat DUN Gurun, TNB anjur sumbangan 'Ceria Ke Sekolah'
- Redzuan Shamsudin
- Jun 4, 2023
- 1 min read

Pusat Khidmat Rakyat DUN Gurun dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru baru ini menganjurkan program bantuan 'Ceria Ke Sekolah' buat murid murid dari keluarga B40.
Penyelaras Pusat Khidmat DUN Gurun, Firdaus Johari dalam ucapannya berkata, program tersebut yang sepatutnya dianjurkan pada awal tahun telah dianjakkan ke bulan Jun 2023.
Namun katanya, tujuan program itu adalah murni iaitu untuk membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dengan tajaan pihak TNB dalam menyediakan pemberian baucer pakaian dan peralatan sekolah.
"Alhamdulillah program ini berjaya kita lakukan dan sumbangan dari TNB ini kita harapkan berpanjangan. Ini bukan kali pertama kita buat program CSR bersama TNB, tahun tahun sebelum ini misalnya sebelum PKP kita telah buat pelbagai program bersama TNB,
"Juga ada beberapa program yang TNB sediakan seperti pembaikan rumah, sukan dan lain lain.
"Kita akan eratkan kerjasama dengan TNB untuk bantuan lain," katanya dalam majlis yang dianjurkan di Pasaraya ANEKA Gurun, kelmarin.

Menurut Firdaus. sebanyak 19 buah sekolah sama ada sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan Cina dan Tamil terlibat dalam program berkenaan.
"Program ini meliputui 19 buah sekolah di mana sekolah kebangsaan, sekolah jenis Tamil dan Cina kita rangkumkan bersama supaya pembahagian sama rata dan adil, dan nama nama tersebut telah diberikan oleh pihak sekolah untuk membantu kita supaya kenal pasti penerima yang tepat ke sasaran," katanya lagi.
Dalam ucapan itu juga Firdaus merakamkan penghargaan kepada Tuan Ismail Lathifi Teh, Pengurus Besar TNB Negeri (Pulau Pinang) dan memangku Pengurus Besar (Kedah & Perlis) yang sudi hadir menyerikan majlis.
Juga kepada Pasaraya ANEKA Gurun yang berikan kerjasama baik sepanjang program tersebut serta para sukarelawan yang menjayakannya.
Comments