Pusat data tidak jejas bekalan air, tarif rakyat kekal - Akmal Nasir
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa kadar tarif air domestik tidak akan dinaikkan bagi menampung keperluan pusat data.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, kerajaan telah menetapkan kos penambahbaikan infrastruktur grid elektrik dan air untuk kemasukan pusat data akan ditanggung pemaju.
"Kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air mampan supaya keperluan sistem penyejukan (cooling system) dan operasi pelayan (server) pusat data tidak menjejaskan pengguna domestik serta industri lain.
"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data berkuatkuasa 1 September lalu yang memperincikan syarat teknikal perlu dipatuhi," katanya dipetik di Dewan Negara pada Isnin.
Syarat teknikal tersebut bagi memastikan pembangunan pusat data tidak menjejaskan bekalan air domestik dengan operator digalak menggunakan teknologi hijau, sistem penyejukan cekap serta kitar semula air.
Sementara itu beliau turut menjelaskan, kemasukan pusat data dan peningkatan unjuran permintaan elektrik di Semenanjung memerlukan penambahbaikan grid bagi tempoh Regulatory Period 4 (RP4) bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
Bagi memastikan bekalan elektrik stabil serta mampan di premis pusat data, kerajaan turut memperkenalkan kategori tarif Voltan Ultra Tinggi (UHV) khusus untuk pusat data.
"Pendekatan 'user pays' diperkenalkan dalam jadual tarif baharu di mana pengguna pusat data perlu menanggung kos tambahan pemantapan infrastruktur grid terbabit bagi mengelakkan kos ditanggung pengguna lain," tambahnya.





