top of page

PRU musim banjir: Selesaikan persiapan hadapi banjir terlebih dahulu - DAP



Kebimbangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengenai idea gila pemimpin Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada musim tengkujuh kini dihadapkan pula dengan idea yang lebih gila.


Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi muncul dengan saranan bahawa PRU perlu disegerakan sebelum banjir melanda negara.


Bagi Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Syahredzan Johan, alasan yang dikemukakan oleh Dr Asyraf dalam kenyataannya lebih kepada usaha mengolah persepsi buruk rakyat terhadap Umno yang berkeras mahu PRU diadakan tidak kira musim.


Bagaimanapun katanya, jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat belum tentu pilihan raya akan selesai sebelum banjir melanda.


"Dr Asyraf Wajdi mengatakan PRU perlu dilakukan sebelum musim banjir. Namun tidak boleh dipastikan proses PRU dapat diselesaikan sebelum banjir kerana peralihan monsun akan bermula pada penghujung bulan September dan Jabatan Meteorologi meramalkan purata hujan yang lebih tinggi bermula daripada bulan Oktober. Tiada siapa juga yang tahu masa yang tepat banjir akan berlaku dalam 3 bulan yang akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Syahredzan lagi, terdapat 3 persoalan utama yang pemimpin Umno perlu jelaskan kepada rakyat sekiranya mereka ingin sangat rakyat meredah banjir untuk keluar mengundi.


"Pertama, memastikan persediaan menghadapi bencana banjir. Beberapa insiden banjir berlaku pada tahun ini dan tahun lepas membuktikan Kerajaan tidak bersedia, sama ada banjir yang dapat dijangka atau di luar jangka.


"Penyelarasan pengurusan bencana banjir perlu dilakukan sekarang dan aset siapsiaga banjir perlu disediakan lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan. Sekiranya persediaan tidak dilakukan, malapetaka akan melanda rakyat kerana apabila Parlimen dibubarkan walaupun ada Kerajaan Sementara, fokus Menteri-menteri ketika itu hanyalah kepada persediaan untuk pilihan raya.


"Kedua, selesaikan masalah ekonomi rakyat. Keadaan ekonomi negara dan kehidupan rakyat semakin buruk dengan kejatuhan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup dan harga barang, kenaikan kadar faedah serta masalah kekurangan pekerja yang teruk.


"Proses pilihan raya, pembentukan kerajaan baharu dan kemudiannya penggubalan serta pelaksanaan dasar baru yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi pula akan memakan masa yang lama sedangkan rakyat sedang menderita ditambah pula dengan ramalan kemelesetan ekonomi pada tahun depan. Sebelum PRU dilaksanakan, kerajaan perlu selesaikan masalah ekonomi terlebih dahulu," katanya.


Manakala yang ketiga, kata Syahredzan, Kerajaan Persekutuan perlu menyelaraskan Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri. Antara alasan yang diberikan oleh Umno BN untuk mengadakan PRU awal adalah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.


Pilihan raya di peringkat negeri, katanya, dijangka akan diadakan serentak dengan PRU bagi mengurangkan kos. Namun sehingga kini selepas beberapa bulan pindaan Undang-Undang Anti Lompat dilakukan di peringkat Persekutuan, pindaan yang sama belum dibuat di peringkat negeri.


"Walaupun Dr Asyraf Wajdi memberi alasan bahawa negara memerlukan Kerajaan yang stabil untuk memulihkan ekonomi dan menyediakan negara untuk menghadapi bencana banjir, tidak jelas mengapa boleh dikatakan Kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.


"Bahkan Perdana Menteri dan Menteri-menteri daripada Umno BN mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang melibatkan pengurusan ekonomi dan bencana. Ketiga-tiga perkara ini perlu diselesaikan dahulu sebelum Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan.

 

"Dr Asyraf diingatkan walaupun kita semua ahli politik, politik itu tiada makna sekiranya rakyat tidak diutamakan. Mendesak PRU diadakan segera hanya dapat memuaskan nafsu mereka yang mahukan kuasa, tanpa mengendahkan nasib rakyat," katanya lagi.

 

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page