top of page

Proses vaksinasi lemah: Kaji semula strategi, percepat kelulusan 2 vaksin baharu


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengkaji semula strategi program vaksinasi Covid 19 kebangsaan yang lemah dan terlalu lembab.


Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) berkata, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) perlu melakukan perolehan vaksin dan suntikan kepada rakyat sesegera mungkin.


Kata mereka, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan jangkitan harian Covid-19 melambung melebihi 6,000 kes sehari.


"Keadaan membimbangkan berdasarkan kenyataan Menteri Khairy Jamaluddin pada 5 Mei, Tahap 3 imunisasi mungkin ditangguhkan kerana bekalan vaksin yang tidak mencukupi.


"Perkara ini menimbulkan kebimbangan yang ketara kerana kesabaran dan daya juang berjuta-juta rakyat Malaysia semakin runtuh akibat program imunisasi yang lembab dan perlahan.


"Kerajaan ketika ini hanya bergantung pada tiga vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac. Bergantung kepada hanya 3 jenis vaksin sahaja adalah terlalu berisiko tinggi.


"Jumlah dos yang sedikit seiring dengan kekurangan variasi vaksin menimbulkan ancaman segera terhadap keadaan yang semakin buruk di negara kita," kata kenyataan berkenaan.


Peratusan Jumlah Penduduk yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

Menurut jawatankuasa vaksinasi itu, kerajaan juga harus menerapkan program baharu imunisasi bagi menghadapi situasi yang semakin mendesak.


Kata mereka, beberapa strategi baharu perlu dilakukan misalnya mempercepatkan kelulusan vaksin oleh NPRA


"Bahagian Regulatori Farmasi Negara mesti mempercepat kajian dan kelulusan calon vaksin, terutamanya yang telah diluluskan oleh WHO dan pihak-pihak berkuasa kesihatan di luar negara.


"Proses birokrasi yang keterlaluan dan tidak efisien perlulah diatasi dan pada masa sama menjaga kebebasan proses kajian untuk memastikan kelulusan sambil menjaga keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.


"Setakat ini, vaksin Sputnik V dan Cansino masih menunggu kelulusan walaupun sudah beberapa bulan dihantar permohonan. Proses ini dapat dipercepat dengan bantuan agensi kompeten sebaya dari negara lain.


"Sputnik V telah mendapat kelulusan dari 60 negara di seluruh dunia dan NPRA harus berusaha mendapatkan data yang diperlukan untuk mempercepatkan proses kelulusan," kata mereka.


Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar kerajaan memperluaskan pemilihan vaksin terkini.


Kata mereka, kerajaan seharusnya mengambil inisiatif mendapatkan vaksin yang baru diluluskan oleh WHO seperti Janssen dan Moderna


"Kita harus berunding dengan syarikat vaksin tahap kajian akhir seperti Sinopharm, Novavax dan lain lain. Kerajaan tidak harus berhenti mendapat bekalan vaksin lain kerana syarikat farmasi telah menetapkan keutamaan mereka kepada negara-negara kaya.


"Malaysia mampu membeli vaksin pada harga pasaran untuk menjamin penghantaran awal seperti taktik yang digunakan oleh UAE dan Israel tahun lepas.


"Impak negatif ke atas ekonomi daripada kadar vaksinasi yang perlahan ini adalah lebih parah berbanding kos perbelanjaan untuk membeli vaksin pada harga yang lebih tinggi," kata kenyataan itu.


Manakala strategi ketiga dicadangan agar Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri dan badan perawatan swasta seperti hospital dan penyedia perubatan memperoleh dan memberi vaksin kepada pelanggan yang sanggup untuk membayar.


"Langkah ini akan menarik kekuatan pasaran mengisi jurang-jurang yang sedia ada dalam industri kesihatan negara. Kerajaan Persekutuan kemudiannya akan dapat menggunakan sumber yang terhad untuk menumpukan usaha memberi vaksin kepada penduduk yang lain," kata mereka lagi.


Jawatankuasa Vaksinasi Covid 19 PH berharap kerajaan bersikap proaktif dan tidak mengulangi kesalahan sebelumnya dalam proses perolehan vaksin.


Kata mereka, Malaysia lewat dalam proses perolehan berbanding dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Sikap "tunggu dan lihat" kerajaan menyebabkan kegagalan mengawal lonjakan semasa dan seterusnya mengorbankan banyak nyawa. Sekarang waktu yang sesuai untuk negara mengambil keputusan menyemak semula strategi vaksinasi dan menyelamatkan nyawa rakyat.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang) dan Veerapan Supramaniam (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).



0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page