top of page

Proses kemasukan pelaburan penyelidikan klinikal perlu dipermudah



Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu proses kemasukan pelaburan bagi industri penyelidikan klinikal ke Malaysia dipermudahkan dengan melaksanakan pembaharuan sejajar dengan keperluan semasa.


Perdana Menteri berkata proses birokrasi yang tidak perlu harus dikurangkan namun dalam masa yang sama kualiti perlu dikekalkan bagi membolehkan industri berkenaan bergerak maju.


"Peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dan peraturan serta dasar dikemas kini untuk kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.


"Kerajaan Malaysia mengiktiraf perkadaran nilai untuk menjadikan negara ini hab percubaan klinikal global, serta kualitatif sumbangannya kepada penjagaan kesihatan," katanya.


Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada majlis perasmian persidangan CRM Trial Connect 2024 anjuran Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk memberikan faedah nilai tambah kepada pelabur dalam industri penyelidikan klinikal di negara ini.


Jelas beliau pasaran percubaan klinikal global bernilai lebih AS$80 bilion pada 2023, dengan unjuran pertumbuhan 6.5 peratus setiap tahun. Separuh daripada jumlah ini kini sangat tertumpu di rantau Asia-Pasifik, terutamanya di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.


"Sehubungan itu saya percaya bahawa negara-negara Asia Tenggara kini adalah gergasi yang sedang tidur kerana secara keseluruhannya, ia adalah salah satu lokasi yang paling pelbagai, dilengkapi dengan tenaga kerja mahir dan infrastruktur sokongan," katanya.


Beliau berkata apabila industri penyelidikan klinikal berkembang, perkhidmatan sokongan seperti organisasi penyelidikan kontrak (CRO), makmal, kilang pembuatan dan perkhidmatan logistik juga akan menyaksikan perkembangan pesat.


"Di sinilah lebih ramai tenaga kerja mahir diwujudkan untuk menyokong keperluan industri. Kita telah lihat perkara ini di PAREXEL Malaysia, yang menyaksikan Pusat Pengurusan Datanya ditubuhkan untuk menyokong rantau ini.


"Selain itu dengan penubuhan Hematogenix - makmal onkologi pusat dengan Malaysia sebagai satu daripada hanya empat lokasi global - telah menyumbang kepada pengambilan saintis dan bioinformatika di negara ini," katanya.


Anwar berkata nilai sosio-ekonomi yang dibawa oleh penyelidikan klinikal memberi kesan poasitif, dengan lebih 2,700 pekerjaan mahir direkodkan dalam bidang itu tahun lepas.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page