Proses beli RON95 dipermudah: Guna e-dompet, aplikasi syarikat minyak - MOF
- Suara Keadilan
- Sep 22
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan mengambil langkah memudahcarakan proses untuk rakyat membeli minyak petrol bersubsidi di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) melalui mekanisme pengesahan menggunakan kad pengenalan pintar (MyKad) tanpa memerlukan sebarang proses pendaftaran.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyatan memaklumkan bagi mengurangkan risiko kesesakan, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan di terminal pam minyak.
"Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo. Pelaksanaan program Budi95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak," kata kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, sistem Budi95 dibuka awal kepada 300,000 anggota polis dan tentera mulai Sabtu ini manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 dapat menggunakan sistem itu pada Ahad ini.
"Pada 30 September (Selasa), sistem Budi95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
"Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
"Bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) atau penghargaan SARA kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi," katanya.
Kementerian menjelaskan semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan manakala emandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
"Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan, di mana lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini," katanya.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan mulai 30 September ini, Malaysia beralih kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 dengan memperkenalkan program bantuan Budi Madani RON95 (Budi95) untuk manfaat rakyat.
"Kerajaan telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia," kata beliau.
Berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025.
Bagi bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada kadar tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
"Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia
"Penjimatan daripada peralihan kepada Budi95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan SARA. Namun tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas," kata Anwar.
Comments