Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung fungsi Parlimen yang digantung sepanjang proklamasi darurat yang diisytiharkan sejak 12 Januari lalu sehingga 1 Ogos ini diragukan.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, darurat tidak secara automatik menggantung Parlimen.
Berliau berhujah berdasarkan Perkara 150 (2B), menyatakan Parlimen boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa. Begitu juga Perkara 150(3) menyatakan : “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan,...” yang memberi makna Parlimen masih berfungsi.
"Saya ingin menyatakan adalah salah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional) jika PM Muhyiddin Yassin menyatakan Parlimen Malaysia sekarang digantung kerana adanya Proklamasi Darurat berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021.
"Dari perspektif undang-undang Proklamasi Darurat dan Penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.
"Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan Kabinet. Proklamasi Darurat hanya setakat itu sahaja, tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.
"Tetapi untuk menggantung Parlimen, PM Muhyiddin mesti mengemukakan alasan-alasan yang khusus dan kukuh kepada yang di-Pertuan Agong mengapa Parlimen Malaysia sekarang perlu digantung. Muhyiddin telah gagal mengemukakan alasan-alasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Hujah Hassan diperkuatkan dengan duluan (presidence) perjalanan sidang Parlimen ketika dikuatkuasakan darurat ke seluruh negara sewaktu awal kemerdekaan. Kemudian tempoh darurat selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 sehingga 2012.
"Sejarah perundangan negara menunjukkan dari tahun 1971 hingga tahun 2012 Malaysia mempunyai Empat (4) Proklamasi Darurat berkuatkuasa dengan sah dari segi undang-undang.
"Dalam tempoh 41 tahun itu Malaysia telah mengadakan 9 kali Pilihanraya Umum dan mempunyai 9 penggal Parlimen (dari Pilihan Raya Umum 1974 sehingga PRU 2008). Ini bermakna Parlimen wujud dan berfungsi sepanjang masa walaupun 4 Proklamasi Darurat tersebut tidak dicabut atau dimansuhkan.
"Selanjutnya, sejarah menunjukkan Parlimen hanya digantung pada tahun 1969 sehingga 1971 akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Ketika itu Badan Separuh Tentera bernama Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang mentadbir Malaysia," katanya.
Sedangkan, menurut Hassan, darurat yang diumumkan Muhyiddin dengan tegasnya hanya 'darurat politik' dan melibatkan kerajaan awam. Tiada campurtangan tentera dan pembentukan majlis pemerintahan baharu. Malah kabinet Muhyiddin tidak berubah dan tiada seorang menteri pun diganti.
"Fakta menyatakan dengan jelas Muhyiddin sendiri mengakui kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Darurat yang diketuainya ialah kerajaan awam bukannya kerajaan tentera. Badan Eksekutif yang mentadbir negara sekarang ialah Jemaah Menteri bukannya badan separuh tentera seperti MAGERAN.
"Jadi Parlimen Malaysia penggal Keempat belas hasil dari PRU 9 Mei 2018 tidak digantung. Ia masih sah berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru itu, Parlimen Malaysia mesti dipanggil bersidang seperti notis yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu Sidang Pembukaan Rasminya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Mac 2021 akan datang," katanya lagi.
Sehubungan itu, Hassan menegaskan tindakan Muhyiddin menggantung Parlimen Malaysia adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Ia mesti dicabar dan ditentang.
Comentários