Projek tebatan banjir guna kaedah berasaskan alam semula jadi jimat kos
- Suara Keadilan
- Nov 3
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negara ini menerusi kaedah berasaskan alam semula jadi (NBS).
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kaedah NBS bukan sahaja lebih mesra alam malah menjimatkan kos.
"Tak bolehlah kita bina projek tebatan banjir yang gah dengan infrastruktur konkrit dan sebagainya, sedangkan NBS itu sebenarnya lebih kos efektif.
"Sebab itu pendekatan (NBS) ini perlu diangkat dan diterangkan agar penerimaan dalam kalangan masyarakat lebih baik supaya kesedaran itu membolehkan kerajaan berpandukam kepada komiten ini untuk memperbanyakakn lagi projek berasaskan NBS," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Akmal berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah kementerian memastikan koordinasi yang baik antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar pelaksanaan infrastruktur hijau benar-benar diintegrasikan dalam pelan guna tanah serta pembangunan bandar, dan bukan sekadar menjadi projek tambahan selepas berlakunya banjir.
Mengulas lanjut, Akmal turut mengambil contoh pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Kemaman.
Beliau menjelaskan, dalam projek itu pihak yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja telah melencongkan aliran air yang membawa banjir itu ke kawasan semula jadi yang bersifat tasik dan kawasan paya.
"Jadi ia sebenarnya melengkapi projek itu berbanding kita hanya sekadar bergantung kepada elemen infrastruktur konkrit dan sebagainya.
"Satu lagi contoh di Sungai Golok, kita ada Danau Tok Uban yang menggunakan kolam takungan itu juga menjadi sebahagian daripada usaha supaya akhirnya ada elemen semula jadi yang diterapkan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memaklumkan bahawa kos bagi melaksanakan keseluruhan projek tebatan banjir di bawah kementerian berkenaan jauh melebihi peruntukan perbelanjaan negara untuk setahun.
Katanya, ini menunjukkan bahawa kos pelaksanaan projek tersebut amat tinggi, sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof.





