top of page

Projek Sabah-P Pinang: Perbandingan Pas tidak ikut keperluan - KEADILAN Sabah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Lebuh raya Pan Borneo Sabah hampir siap
Lebuh raya Pan Borneo Sabah hampir siap

Pembangunan infrastruktur pengangkutan Sabah kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, termasuk menerusi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo dan peningkatan kapasiti lapangan terbang di negeri itu.


Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, pembangkang di Sabah, khususnya Pas tidak wajar membandingkan nilai projek infrastruktur pengangkutan antara Sabah dan Pulau Pinang tanpa mengambil kira skala dan tempoh pelaksanaan setiap projek.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Sabah yang mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan susulan lebih RM21 bilion projek infrastruktur pengangkutan diluluskan untuk Pulau Pinang.


"Kita tidak menafikan bahawa keadaan jalan raya di Sabah masih memerlukan perhatian serius. Sebagai anak Sabah, kita mahukan Pan Borneo disiapkan lebih cepat dan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung terus dikecilkan.


"Tetapi kalau mahu membandingkan, bandinglah secara adil. Angka lebih RM21 bilion yang disebut untuk Pulau Pinang bukanlah peruntukan tahunan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan.


Menurut Ahmad Farid, sebahagian besar nilai tersebut melibatkan projek infrastruktur berskala besar yang dilaksanakan secara berperingkat untuk tempoh beberapa tahun, khususnya projek LRT Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, selain projek pembesaran lapangan terbang, pelabuhan dan terminal pelayaran.


Katanya, nilai keseluruhan projek di Pulau Pinang tidak wajar dibandingkan hanya dengan satu komponen peruntukan penyelenggaraan jalan Sabah bagi tempoh setahun.


"Kalau kita mahu memasukkan keseluruhan nilai LRT Penang dalam perbandingan, maka kita juga mesti memasukkan keseluruhan nilai projek mega yang sedang dilaksanakan di Sabah," ujarnya.


Beliau berkata, Belanjawan 2026 menyenaraikan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B bernilai RM15.9 bilion.


Selain itu, katanya, terdapat Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dan 2 bernilai RM8.81 bilion serta Lebuhraya Trans Borneo bernilai RM2.99 bilion sebagai sebahagian daripada pembangunan rangkaian strategik Borneo.


Dalam sektor penerbangan pula, hampir RM500 juta diluluskan bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), manakala RM120.9 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau.


"Ini bermakna hampir RM620 juta bagi KKIA dan Tawau sahaja, belum termasuk perancangan menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu," katanya.


Ahmad Farid berkata, pembangunan LRT Pulau Pinang tidak bermaksud Sabah diketepikan dalam aspek pembangunan infrastruktur pengangkutan kerana kedua-dua wilayah mempunyai keperluan dan cabaran berbeza.


Menurutnya, Pulau Pinang berdepan isu pengangkutan bandar, kepadatan dan kesesakan yang memerlukan sistem transit massa, manakala Sabah mempunyai kawasan yang jauh lebih luas dengan cabaran geografi tersendiri.


"Sebab itu keutamaannya merangkumi Lebuhraya Pan Borneo, jalan luar bandar, jalan perhubungan antara daerah serta infrastruktur asas," katanya.


Tegas beliau, keadilan pembangunan tidak bermaksud Pulau Pinang perlu dinafikan projek LRT selagi semua jalan di Sabah belum diselesaikan.


Dalam pada itu, Ahmad Farid berkata kemajuan pelaksanaan Pan Borneo Sabah juga perlu dilihat berdasarkan perkembangan semasa.


"Setakat perkembangan terkini, kemajuan fizikal Pan Borneo Sabah telah mencapai sekitar 88 peratus bagi Fasa 1A dan melebihi 20 peratus bagi Fasa 1B.


"Kerajaan mesti terus memastikan projek ini dipercepatkan dan disiapkan tanpa kelewatan yang tidak munasabah," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa Sabah masih mendapat perhatian dan keutamaan Kerajaan MADANI, namun pelaksanaan projek perlu dipercepatkan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.


"Tugas kita sekarang ialah memastikan setiap peruntukan dan projek itu dilaksanakan dengan lebih pantas dan sampai manfaatnya kepada rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page