top of page

Projek rintis KKM berjaya kurang kesesakan di hospital



Projek rintis dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kesesakan pesakit di jabatan kecemasan di hospital kerajaan dianggap menunjukkan hasil positif.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan kementerian melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam yang dimulakan baru-baru ini telah menunjukkan penurunan kadar kesesakan di zon hijau hospital yang terlibat projek rintis itu.


"Projek rintis ini telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang yang mana tindakan segera cadangan intervensi adalah dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke KKBB di luar waktu operasi bermula pada 25 Mac 2023 dengan KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.


"Sehingga 9 April 2023, purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HTAR mencatatkan penurunan kedatangan sebanyak 54 peratus.


"Trend penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan bermula 25 Mac 2023," katanya dalam kenyataan.


Selain itu menurut Dr Zaliha, pihak kementerian turut melaksanakan tujuh tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.


"Antaranya pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, pelaksanaan pengurusan Lean, peluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual, dan strategi komunikasi melalui ‘behavioral insight’ (wawasan tingkah laku) sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkenaan," ujarnya.


Beliau turut memberitahu, keputusan awal projek dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), kementerian dan agensi kerajaan berkaitan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.


Justeru jelasnya, KKM memutuskan untuk memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik-klinik kesihatan lain.

Antara klinik kesihatan yang telah dipilih untuk tujuan itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.


"KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.


"Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan," jelasnya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page