Projek mitigasi banjir Selangor berjaya tangani kesan cuaca ekstrem
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor disifatkan berjaya melaksana langkah-langkah mitigasi untuk mengawal banjir di negeri itu.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis berkata, keberkesanan usaha berkenaan terbukti apabila kejadian banjir kilat susulan hujan lebat dan ribut tropika baru-baru ini hanya memberi kesan minimum berbanding bencana besar pada Disember 2021.
"Walaupun banjir kilat berlaku, tahap kerosakan adalah jauh lebih rendah. Ini membuktikan keberkesanan projek mitigasi banjir yang telah dilaksanakan," katanya.
Dipetik laporan Selangorkini, beliau menyifatkan beberapa usaha termasuk dengan meningkatkan infrastruktur serta tahap kesiapsiagaan telah memberi ruang untuk negeri bertindak lebih pantas dan berkesan dalam berdepan cuaca ekstrem.
Menyentuh beberapa cabaran dalam menangani isu banjir kilat di negeri itu, Jay Jay berkata, salah satunya ialah sistem perparitan di kawasan perumahan dengan jaringan sungai yang masih tidak sempurna.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri kini sedang membangunkan pelan pengurusan air baharu untuk mengurus aliran air berlebihan dengan lebih baik.
"Kerja pengorekkan sungai secara besar-besaran dilaksanakan di Sungai Klang untuk meningkatkan kapasiti kira-kira 35 peratus, memberikan kesan positif di kawasan seperti Sungai Damansara.
"Bagaimanapun, paras air laut yang meningkat serta corak pasang surut terus menjadi cabaran bagi daerah pesisir seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat.
"Untuk mengatasinya, Selangor mendapatkan kepakaran antarabangsa, terutama dari Jepun dan Belanda yang berpengalaman dalam pengurusan banjir," jelasnya.
Setakat November lalu, sebanyak 34 projek mitigasi banjir bernilai RM241.6 juta telah disiapkan di Selangor, manakala 39 projek bernilai RM383.35 juta serta 18 projek Kerajaan Persekutuan masih dalam pelaksanaan.









Comments