top of page

Projek kerjasama awam-swasta perlu amal ekonomi manusiawi, tatakelola - PM



Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa projek-projek di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 perlu menerapkan prinsip tata kelola yang tegas dan tidak bertolak ansur.


Perdana Menteri berkata, projek-projek penswastaan tidak boleh diukur kejayaannya dari segi keuntungan semata-mata sebaliknya menekankan soal kemanusiaan seperti keperluan kadar upah, perumahan dan pendidikan serta kesihatan mengikut keupayaan syarikat.


"Ini keistimewaan konsep PPP (Public-Private Partnership) apatah lagi ia perlu diperkukuhkan di bawah konsep Madani. Jadi pengajaran saya nak sampaikan adalah bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta dengan ambil kira konsep ini," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di sini pada Isnin.


PIKAS 2030 bertujuan mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta sebagai usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.


Perdana Menteri berkata, matlamat pelan strategik itu adalah untuk menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh dan mampan bagi memacu kesejahteraan negara.


Beliau berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan memainkan peranan untuk memastikan kepesatan serta kelulusan yang tidak terikat karena birokratik berlebihan terhadap projek-projek di bawah PIKAS 2030.


"Ia tidak boleh berganjak daripada prinsip utama tentang tata kelola, untuk mengelak dari sebarang kecurangan yang menjahanamkan sebahagian perubahan negara," katanya.


Jelasnya dukungan yang kuat perlu diberikan kepada badan penguatkuasaan untuk memastikan negara bangkit sebagai negara maju dari segi ekonomi yang mampan dan berdasarkan prinsip tatakelola yang ketat.


"Kita tahu lebih 510 projek PPP yang telah diadakan, sebahagian besarnya mengikut tatakelola yang ketat, tetapi ada juga yang menunjukkan sedikit kelemahan kerana tidak dirangka dan dilaksanakan mengikut kaedah yang ditetapkan," katanya.


Anwar berkata negara ini bertuah kerana mendapat pengiktirafan lebih baik berbanding pada masa lalu termasuk dari Barat dan Timur.


"Walaupun kita mendekati China, kekuatan dan keupayaan ekonomi China yang lebih segar dan Rusia yang jauh lebih pantas kita kekal dengan sehabat tradisional termasuk ASEAN, Eropah dan Amerika. Kebetulan pagi tadi saya terima surat daripada Setiausaha Perdagangan AS yang menyatakan penghargaan atas Kerjasama dengan berikan kepada mereka untuk melabur melalui Boeing di Kedah.


"Ini kerana mereka yakin dengan keupayaan dasar kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang ada sedikit anjakan dasar luar, dasar yang bebas atau 'centrality' menjadi tonggak dasar luar dan sikap prakmatik... negara harus aman dan selamat dan mencungkil bakat yang mampu melaksanakan dan harus mengembeling kekuatan," ujarnya.


Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.


Terdahulu kenyataan Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri berkata melalui projek kerjasama awam-swasta, kerajaan menjangkakan peningkatan pelaburan swasta kepada RM78 bilion, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM82 bilion, dan penciptaan 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.


Bagi mencapai objektif untuk terus mengukuhkan tatakelola dalam pelaksanaan projek PPP, kerajaan akan mengutamakan pelaksanaan cadangan projek PPP secara bidaan bersaing melalui "Request for Proposal” (RFP).


Proses itu akan mempertingkatkan persaingan, inovasi, kualiti perkhidmatan dan memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan serta rakyat, tambah kenyataan itu.


Beberapa model PPP baharu seperti Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah (ROT), Bina-Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah (BROT) akan diperkenalkan.


Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek PPP yang berorientasikan "user-pays” selaras dengan hasrat untuk mengurangkan cabaran fiskal.


Model monetisasi konsesi seperti pembiayaan secara Amanah Perniagaan dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) akan diteroka sebagai alternatif dalam pembiayaan projek PPP, jelasnya.


Kerajaan komited untuk memastikan setiap usaha yang diambil melalui PIKAS 2030 akan membawa perubahan sosial dan ekonomi yang lebih bermakna dan terangkum kepada seluruh rakyat demi membina sebuah negara yang progresif, jelasnya.


Menerusi penyertaan aktif sektor swasta, pelan itu akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di samping memastikan manfaat pembangunan mampan dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat, tambah kenyataan itu.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page