Projek Kedah Aerotropolis tidak pernah dibawa ke Kementerian Ekonomi


Projek gah Kerajaan Negeri, Kedah Aerotropolis dimaklumkan di Dewan Rakyat hari ini sebagai tidak pernah dibawa ke pengetahuan Kementerian Ekonomi atau sebarang unit di bawahnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (PH - Pandan) berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pas - Pendang).
"Aerotropolis tidak ada dalam senarai di bawah kementerian saya. Dia tidak ada di bawah senarai NCIA, dia tidak dibawa terus Kerajaan Negeri kepada Kemenetrian Ekonomi atau Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Jadi kalau ada (dibawa) saya boleh komen, sebab tak ada saya tak boleh komen," katanya dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa, petang tadi.
Selain itu, Rafizi juga menyatakan butiran peruntukan bagi pembangunan koridor di bawah kementeriannya.
Beliau berkata ada 2 projek untuk koridor utama iaitu IRDA (di Johor) sebanyak RM185.8 juta seterusnya pembangunan koridor sebanyak lebih RM1 bilion.
Rafizi juga menjelaskan mengenai pembinaan insfrastruktur untuk koridor Timur yang turut melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor serta projek insfrastruktur untuk IRDA membina metropolis bagi mendapatkan limpahan ekonomi Singapura.
Manakala di utara pula, katanya koridor memajukan pertanian moden diwujudkan sebagaimana di Chuping Valley, Perlis. Di Kedah pula koridor utara menyediakan khidmat sokongan kepada Kulim Hi Tech Industrial Park.




Comments