
Satu klip video tiktok berdurasi 1:00 minit memaparkan ucapan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berkisar isu projek pembinaan kapal tentera laut tular sejak 2 hari lalu dan mendapat tontonan ramai.
Klip tersebut memaparkan cara mudah bagaimana rakyat, terutama kaum Melayu ditipu oleh elit pemerintah dalam skandal penyelewengan yang didakwa bernilai RM890 juta.
"Umno selalu tuduh KEADILAN dan PH menjejaskan kedaulatan negara dengan jual harta negara.
"Terbaharu saya dedahkan projek kapal perang negara tergendala selama 10 tahun.
"RM6 bilion telah dibayar tetapi satu kapal pun belum siap. Semakan saya berdasarkan sumber rasmi menunjukkan sekurang kurangnya RM890juta telah diselewengkan," katanya.
Untuk memudahkan pemahaman, Rafizi meletakkan 3 tokoh utama terlibat pada peringkat awal skandal tersebut dengan kelulusan kontrak dan pemberian surat lantikan kontraktor.
"Siapa Perdana Menteri semasa semua ini berlaku? Najib. Siapa Menteri Pertahanan yang beri surat lantikan pada 2011? Zahid. Siapa Menteri Pertahanan semasa kontrak rundingan terus 2014? Hishamuddin. Semua pimpinan utama Umno.
"Hidup Umno, hidup Melayu, kata mereka. Wang kena sapu, kapal masih ditunggu, Melayu kena tipu," sinis Rafizi.
Skandal pebinaan kapal tempur Tentera Laut Diraja Malaysia menjadi tajuk perbincangan hangat selepas Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua - Littoral Combatant Ship (LCS) dibentangkan pada 4 Ogos lalu dan mendapat reaksi rakyat kerana kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion tanpa kapal yang dijanjikan siap dibina.