
Program Malaysia Rumah Kedua atau Malaysia My Second Home (MM2H) yang telah berjalan sejak lebih sedekad lalu perlu diperkemaskan, bukan memperketat syarat kelayakan peserta sebagaimana dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional 2.0.
Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pelancongan, Muhammad Bakhtiar Muhammad Wan Chik, program tersebut sepatutnya memberi galakan kepada warga asing membeli hartanah di negara ini ketika ekonomi tertekan susulan pandemik Covid 19.
"Landskap negara kita cukup berpotensi untuk dijadikan rumah kedua buat warga asing, data menunjukkan pelaburan asing dalam harta tanah kediaman yang berjumlah RM204 juta pada tahun 2000, meningkat RM1.4 bilion pada tahun 2010 dan mencatat kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 25% dalam tempoh tersebut
"Malaysia berada di tempat ke-7 dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2021 oleh majalah "International Living", sementara "Travel Awaits" baru-baru ini menjadikan Pulau Pinang sebagai pulau ketiga terbaik di dunia dan yang pertama di Asia sebagai lokasi untuk bersara," katanya.
Tegas Ahli Parlimen Balik Pulau itu lagi, dasar yang dilaksanakan kerajaan sekarang tidak mesra peserta MM2H dan boleh menjauhkan golongan yang berpotensi memberi hartanah di Malaysia.
Menurut beliau, Kerajaan PN seharunsya menilai kembali dasar yang diumumkan.
"Oleh itu, ingin saya tegaskan polisi baharu yang dibawa secara drastik amat perlu dikaji semula terutama berkenaan simpanan tetap yang dinaikkan sehingga RM1juta serta pendapatan offshore yang dinaikkan daripada RM10,000 ke RM40,000, ini bukan masa yang sesuai untuk kita kehilangan lebih banyak pelabur asing.
"Malah Tuanku Sultan Johor turut bertitah kali kedua mengenai hal ini di mana Johor merupakan lokasi utama program MM2H selain daripada Kuala Lumpur," katanya lagi.
Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri mengumumkan syarat lebih ketat bagi program MM2H kerana dikhuatiri peserta yang mempunyai pendapatan tidak begitu tinggi akan cuba mendapatkan beberapa kemudahan dan produk yang disubsidi buat rakyat tempatan.
Comments