top of page

Program Madani Rakyat 2025 di Baling: PMX bagai sirih pulang ke gagang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 9
  • 2 min read

Teman lama dan penduduk Baling begitu seronok menyambut kehadiran PM. Foto: FB Anwar
Teman lama dan penduduk Baling begitu seronok menyambut kehadiran PM. Foto: FB Anwar

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Bagai sireh pulang ke gagang. Mungkin peribahasa ini amat sesuai untuk menggambarkan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Baling, Kedah di perhimpunan penutupan Program Madani Rakyat 2025, Sabtu lalu.


Semasa memberikan ucapan, PMX telah mengimbau kembali peristiwa Demostrasi Baling 1974, yang menyebabkan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri 1960 di Kamunting Perak.


Saya (penulis) ketika itu sedang menuntut di ITM Shah Alam dan masih ingat lagi akan Demonstrasi Baling yang mana PMX ketika itu memimpin gerakan mahasiswa yang begitu bersemangat memperjuangkan nasib petani miskin di Kedah.


Bagi PMX, kehadirannya di Baling kali ini telah digunakan sepenuhnya untuk mendengar suara akar umbi dan mendekati rakyat. Ini semua membuktikan iltizam kerajaan Madani untuk terus memberikan bantuan kepada masyarakat setempat di sini.


Baling juga menjadi saksi akan Peristiwa pada 28 dan 29 Disember 1955 yang membabitkan pertemuan antara wakil kerajaan antaranya Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura, David Marshall dan Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock bersama wakil Parti Komunis Malaya antaranya Chin Peng dan Rashid Maidin.


Baling kini berubah wajah


Saya amat bernasib baik kerana dapat juga menghadirkan diri di program ini setelah dijemput baik oleh sahabat saya Datuk Dr Ir Manaf Hanafi. Setibanya di Baling, saya telah bertemu dan bersarapan dengan saudara saudara Leman Raja Lawak dan saudara Mustapha Mansor.

Penulis - Shahbudin Embun
Penulis - Shahbudin Embun

Semestinya, sejak dari tahun 1974, Baling telah berubah wajah. Pembangunan dan kemajuan mula dirasai oleh Baling walaupun masih ada lagi rakyat miskin yang berada di daerah ini. Itu sebabnya Kerajaan Madani akan sentiasa berusaha untuk memajukan lagi daerah ini dan sekaligus menaikkan ekonomi masyarakat.


Dalam hal ini, saya ingin memetik pengalaman yang dilalui oleh Datuk Hashim Suboh semasa berkhidmat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM pada tahun 1989. Beliau telah diberikan tugas khas untuk memaparkan kemiskinan rakyat di negara ini.


Berdasarkan tinjauan yang buat pada tahun 1989 - 15 tahun selepas kisah kebuluran di Baling itu, beliau dapati lagu lama kemiskinan rakyat masih lagi berlaku di merata tempat khususnya di kedua daerah tersebut.


Program pembangunan rakyat termiskin


Beliau akhirnya menerbitkan sebuah dokumentari khas yang memaparkan kemiskinan yang real berlaku di bawah sana. Dokumentari Kemarau Di Lembah itu akhirnya mencetuskan Program Pembangunan Rakyat Termiskin PPRT dengan peruntukkan awal sebesar RM 391.7 juta .


Baling akan terus dimaju dan bangunkan. Bahkan bukan sahaja di Baling, tetapi juga di seluruh negeri Kedah. PMX telah menjelaskan bahawa peruntukan bagi Kedah juga sentiasa menunjukkan peningkatan apabila bertambah daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion bagi tahun 2025.


‎Daerah Baling juga di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035, telah diletakkan sebagai Daerah Pelancongan Eko. Dengan aset alam semula jadi serta tinggalan sejarah yang pelbagai, kita semua yakin ia akan menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.


Apa yang pasti, kehadiran PMX ke Baling akan memperteguh lagi iltizam PMX dan kerajaan Madani yang dipimpinnya untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.


Shahbudin Embun merupakan seorang Penganalisis Politik

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page