top of page

Program MADANI Kita Sg Buloh sebar maklumat kerajaan kepada penduduk

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 hours ago
2 min read
DS Ramanan (kemeja biru) menjawab setiap persoalan yang ditanya penduduk parlimen Sungai Buloh
DS Ramanan (kemeja biru) menjawab setiap persoalan yang ditanya penduduk parlimen Sungai Buloh

Program MADANI Kita di Parlimen Sungai Buloh semalam menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada penduduk mengenai pelbagai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan Kerajaan MADANI, termasuk program yang dijalankan agensi Persekutuan.


Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, program tersebut bukan sekadar bertujuan mengetengahkan pencapaian kerajaan, malah memastikan masyarakat mengetahui manfaat yang boleh diperoleh menerusi pelbagai inisiatif di kawasan mereka sendiri.


Menurutnya, terdapat program kerajaan yang tidak diketahui penduduk setempat kerana dilaksanakan oleh agensi berbeza, sehingga maklumat berkenaan tidak semestinya sampai kepada pusat khidmat wakil rakyat.


"Bukan saja nak beritahu kejayaan kita tetapi apa yang sedang dilaksanakan di kawasan mereka sendiri.


"Contohnya di Parlimen Sungai Buloh ini mereka tidak tahu beberapa program yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan sebab ia dijalankan oleh agensi yang lain," katanya selepas Majlis Perasmian Program MADANI Kita di Sungai Buloh yang berbentuk soal jawab townhall.


Penduduk dibenarkan bertanya apa sahaja persoalan yang mereka mahukan
Penduduk dibenarkan bertanya apa sahaja persoalan yang mereka mahukan

Ramanan berkata, penglibatan pelbagai agensi dalam program itu membolehkan penduduk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai inisiatif kerajaan, khususnya berkaitan pembangunan ekonomi, teknologi dan peningkatan kualiti hidup.


Beliau menegaskan program berkenaan tidak seharusnya berakhir selepas majlis selesai, sebaliknya perlu memberikan kesan positif yang berpanjangan kepada masyarakat.


"Ini bukan sekadar kita nak buat program dan cerita habis esoknya.


"Ini kita nak pastikan kita betul-betul mempunyai manfaat yang panjang hasil program kita sediakan," katanya.


Program tersebut menerima kehadiran lebih 1,000 orang, selain melibatkan sesi dialog bersama ketua komuniti setempat, termasuk ketua kampung dan ahli majlis.


Menurut Ramanan, penglibatan pemimpin komuniti penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan dapat diperluas kepada penduduk di kawasan masing-masing.


Beliau berkata, sesi dialog itu turut memberi ruang kepada wakil masyarakat mengemukakan persoalan dan mendapatkan maklum balas secara langsung.


"Ketua penduduk tadi pun kita bagi jawapan balas, mereka ambil video, mereka masukkan dalam group mereka dan impak akan baik," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan turut mengetengahkan projek tebatan banjir bernilai RM1.1 bilion yang dibawa untuk kawasan Sungai Buloh sebagai antara usaha menangani masalah banjir kilat selama dua dekad yang perlu diketahui penduduk.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page