Program Kasih Ramadan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, hari ini dijangka dapat mengurangkan masalah beban kos hidup golongan B40 di kawasan berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, program tersebut amat membantu penduduk di kawasan perkenaan yang berpendapatan rendah atau mempunyai tanggungan yang banyak.
"Kita ada satu koloborasi yang baik antara Yayasan Wilayah Persekutuan, BSN, Grobok Kasih, Wadah dan semua kita usahakan untuk ringankan sikit (kesusahan) terutamanya mereka golongan B40.
"B40 sebagai label sahaja, ada yang tak B40 tetapi juga perlukan bantuan. Ini salah satu daripada usaha kita," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pada pagi tadi
Selain itu, Dr Wan Azizah juga memuji BSN yang menganjurkan kursus latihan kewangan kepada peserta program dan dapat menambahkan ilmu pengurusan kewangan kepada sesiapa yang berniaga.
"Apa yang penting BSN adakan satu kursus untuk kemahiran mengurus kewangan. Yang itu (pengurusan kewangan) kita kurang sikit.
"Kita boleh buat perniagaan maju tetapi kita tak tahu nak mengendalikan apa yang kita ada, perolehan dan perbelanjaan. Kita perlu ada kemahiran dan juga macam mana pengetahuan mengendalikan kewangan dengan lebih baik," katanya.
Program kasih Ramadan YWP - BSN tersebut terlibat dalam pemberian makanan untuk berbuka puasa, bantuan kepada pelajar sekolah dan sumbangan barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan.
Комментарии