
Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri Selangor dianggap inisiatif yang sangat memberi manfaat.
Pengarah bersama pusat penyelidikan Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, hasil pemerhatian pihaknya program yang diperkenal sejak tahun lalu mampu memperkasakan ekonomi serta menyejahterakan penduduk.
Tegasnya, program itu mampu menarik sokongan pengundi di Selangor sekaligus mengekalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Jam 7 pagi sudah ramai yang beratur kerana program ini membantu penduduk dalam menjimatkan belanja. Sekarang isu inflasi dan ekonomi jadi fokus rakyat.
"Jadi kita (kerajaan) kena tunjuk dan lakukan yang terbaik. Jangan cakap isu politik berlebihan tetapi tunjukkan kita bekerja untuk rakyat," katanya.
Ibrahim Suffian melontarkan pandangan itu pada sesi sumbangsaran menjelang pilihan raya negeri di Kelab Shah Alam Seksyen semalam.
Program anjuran Jabatan Pilihanraya Wanita KEADILAN Pusat itu dihadiri ketuanya Fadlina Sidek serta timbalan merangkap pengarah pilihanraya wanita pusat.
JER diperkenal Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha membantu rakyat yang terkesan dengan isu kenaikan harga barang.
Inisiatif tersebut menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan program itu ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei ini.