Menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos ini isu berkenaan penyebaran senarai calon palsu menjadi masalah dalam kalangan anggota parti dan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Ampang, Shahrom Hassan, penyebaran senarai seperti itu amatlah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekecohan serta menyusahkan individu atau parti yang difitnah.
"Penyebaran berita palsu atau berita yang tidak sahih bukan sahaja melanggar undang-undang malah mampu membawa kesan buruk dalam jangka masa tertentu, apatah lagi dalam senario kita bakal menghadapi PRN Selangor.
"Oleh karena itu, dalam konteks senarai nama calon dan kawasan yang bakal ditandingi dalam pilihanraya negeri Selangor ini, semua pihak terutamanya anggota KEADILAN harus menghormati dan mematuhi undang-undang, termasuk dalam menyebarkan berita.
"Kita perlu memiliki disiplin untuk melaksanakan reformasi dan melakukan setiap perkara dengan penuh etika dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan.
Senarai palsu yang sengaja dikirim ulang atau dipanjangkan kedalam beberapa kumpulan aplikasi WhatsApp, kata Shahrom, boleh mengundang salah faham dan hanya akan mengurangkan mood kerjasama antara komponen Kerajaan Perpaduan.
"Kiriman post seumpama ini memberi kesan kepada aspek kerjasama dan mengundang perselisihan, terutamanya bagi kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional.
"Usah kerana tindakan ingin menjadi yang pertama menyampaikan berita, kita telah melanggar tatasusila ketepatan berita. Pada akhirnya, kita menjadi punca kepada perselisihan dan membantutkan usaha membentuk kerajaan yang kukuh pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya lagi.
Tegas Shahrom, tugas utama anggota KEADILAN dan PH ialah memberikan kesedaran dan kefahaman kepada akar umbi melalui penyebaran makluman yang sahih dan tepat.
Sekiranya masih terdapat kiriman maklumat palsu di media sosial, katanya, adalah menjadi tugas anggota parti untuk memberikan pencerahan dan tindakan seumpama ini mampu membentuk budaya baharu iaitu, hanya berita sahih yang dikongsi.
Comments