PRN Sabah: Amirudin mahu jentera KEADILAN perhebat gerak kerja
- Suara Keadilan

- Oct 22
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Seluruh jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Sabah diseru memperhebat gerak kerja akar umbi bagi memastikan kemenangan calon diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kekuatan sebenar parti tidak hanya bergantung pada strategi atau logistik, tetapi pada keupayaan jentera mengenali, memahami dan menjiwai hati nurani rakyat di setiap kawasan yang ditandingi.
"Kemenangan akan berpihak kepada kita apabila jentera benar-benar turun ke lapangan dan membina keyakinan rakyat terhadap perjuangan KEADILAN," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul lawatan bagi meninjau persiapan Bilik Gerakan Utama (BGU) DUN Karamunting pada Selasa.
"Alhamdulillah, saya amat berpuas hati melihat kesungguhan dan kesiapsiagaan jentera di DUN Karamunting yang sudah mula bergerak sejak tiga bulan lalu.
"Teruskan mendekati seramai mungkin pengundi. Yakinkan mereka bahawa DUN ini akan menjadi salah satu kerusi kebanggaan KEADILAN di bumi Sabah," ujarnya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November. Tempoh kempen berlangsung selama 14 hari sehingga 28 November.









Comments