
Keputusan rundingan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan dan Terengganu dijangka dimuktamadkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perkembangan rundingan kerusi yang diadakan di antara dua gabungan itu.
Tambahnya, rundingan awal mengenai agihan kerusi antara kedua-dua parti tersebut sebelum ini menunjukkan perkembangan yang baik.
"InshaAllah kita akan dapat senarai pembahagian kerusi dalam masa yang terdekat iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Pada masa sama, tiap-tiap parti (PH dan BN) mengadakan proses saringan calon (PRN)," katanya dipetik.
Nik Nazmi berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan di Kuala Terengganu semalam.
Ketika ditanya sasaran kerusi yang akan ditandingi PH di Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi berkata parti itu membayangkan untuk memberikan tumpuan di kawasan bandar.
Beliau berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk prestasi menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu
"Jadi itu antara gambaran kita, macam Parti Amanah Negara (Amanah) mereka juga ada kekuatan dia dan BN ada kekuatan dia," ujarnya lagi.