top of page

PRN Negeri Sembilan: Persaingan Sengit, Isu Besar Beri Impak Sokongan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: PRN Negeri Sembilan 2026 kini memasuki fasa terakhir kempen menjelang hari pengundian pada 1 Ogos 2026. Semua parti politik sedang menggandakan usaha untuk mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan, khususnya di kerusi-kerusi marginal yang dijangka menjadi penentu pembentukan Kerajaan Negeri.


Hasil pemerhatian di lapangan, sesi walkabout serta maklum balas daripada pengundi menunjukkan beberapa isu utama mula mengatasi retorik politik.


Isu RCI Tabung Haji mengubah naratif kempen


Pengumuman laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji telah menjadi antara topik paling hangat dibincangkan. Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sejumlah kira-kira RM12 bilion yang dipercayai mempunyai unsur salah laku wajar disiasat oleh SPRM, PDRM, Bank Negara Malaysia serta di bawah Akta AMLA telah membuka dimensi baharu dalam kempen.


Bagi penyokong Kerajaan MADANI, isu ini mengukuhkan naratif reformasi, akauntabiliti dan tadbir urus yang telus. Namun pada masa sama, pembangkang dijangka akan cuba mempersoalkan masa pendedahan tersebut menjelang hari pengundian.


Sekiranya siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan mengikut undang-undang, ia berpotensi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.


DUN Linggi: Isu pelabuhan AI faktor tempatan


Di DUN Linggi, isu pembangunan Projek Pelabuhan Pintar Pasir Panjang, Port Dickson terus menjadi antara topik yang dibangkitkan oleh penduduk.


Antara kebimbangan yang disuarakan ialah kononnya berlaku pengambilan tanah termasuk kawasan hutan simpan, kampung tradisi Melayu serta persoalan mengenai pampasan kepada penduduk yang terlibat. Terdapat juga dakwaan bahawa identiti dan penempatan masyarakat kampung tradisi akan terjejas sekiranya projek diteruskan.


Isu ini lebih bersifat tempatan, namun mampu mempengaruhi corak pengundian sekiranya tidak ditangani melalui penerangan yang jelas serta rundingan yang berkesan dengan penduduk.


DUN Chennah: Kos sara hidup, penguatkuasaan jalan raya


Di DUN Chennah, maklum balas pengundi menunjukkan beberapa isu berkaitan dasar pengangkutan Persekutuan menjadi perhatian.

Shahbudin Embun berada di lapangan
Shahbudin Embun berada di lapangan

Antara perkara yang sering dibangkitkan ialah kenaikan harga bahan api yang memberi kesan kepada kos sara hidup;

peningkatan kadar kompaun bagi beberapa kesalahan lalu lintas; penguatkuasaan sistem AES; hukuman lebih berat termasuk denda dan pemenjaraan mandatori terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.


Sebahagian pengundi menyifatkan penguatkuasaan yang tegas penting demi keselamatan jalan raya, manakala sebahagian lagi berpendapat pelaksanaan perlu disertai pendidikan, penerangan dan keseimbangan supaya tidak membebankan rakyat.


Dakwaan sogok wang perlu disiasat


Kempen juga diwarnai dengan dakwaan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mendakwa berlaku unsur politik wang melibatkan pemberian wang tunai kepada pengundi serta pengambilan nombor kad pengenalan.


Dakwaan seperti ini adalah serius. Sekiranya benar, ia perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SPRM dan pihak polis. Sekiranya tidak benar, dakwaan tersebut juga perlu dibuktikan atau ditarik balik bagi mengelakkan kekeliruan dan menjejaskan integriti proses pilihan raya.


Prinsipnya mudah: setiap tuduhan mestilah disokong dengan bukti dan diproses mengikut saluran undang-undang.


Fitnah terhadap PDRM di media sosial


Turut mendapat perhatian ialah penyebaran kandungan media sosial yang mendakwa berlaku cubaan menyogok pengundi melibatkan anggota polis di Balai Polis Tampin.


Difahamkan satu laporan polis telah dibuat dan dakwaan tersebut disifatkan sebagai palsu.


Sekiranya siasatan mendapati kandungan itu sengaja direka untuk memburukkan imej PDRM atau mana-mana pihak, tindakan tegas sewajarnya diambil mengikut undang-undang. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.


Rumusan analisis


Berdasarkan pemerhatian semasa, beberapa kesimpulan boleh dibuat iaitu Persefahaman BN-PN mempunyai sedikit kelebihan hasil penyatuan undi Melayu. Tahap pemindahan undi antara kedua-dua gabungan akan menjadi faktor kritikal; Pakatan Harapan mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain mengekalkan sokongan yang kukuh daripada pengundi bukan Melayu serta sebahagian pengundi Melayu di beberapa kawasan; dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bertanding secara solo menggunakan lambang sendiri dijangka memberi kesan kepada pecahan undi Melayu di beberapa kerusi dan berpotensi mempengaruhi keputusan akhir.


Tumpuan utama kekal di DUN Linggi, yang menyaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan bertanding selepas meninggalkan DUN Sikamat, serta DUN Chennah, tempat Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempertahankan kerusinya.


Momentum kempen dalam tempoh 48 jam terakhir dijangka menjadi penentu. Isu integriti, kos sara hidup, pembangunan tempatan, kadar keluar mengundi serta keupayaan jentera membawa pengundi keluar mengundi akan menentukan keputusan akhir PRN Negeri Sembilan 2026.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik SEKPUR (Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia)


*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page