PRN N Sembilan: PH bawa prestasi kerajaan, PN-BN cerita basi 'Melayu terancam'
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) terus mempertahankan pendekatan kempen berteraskan prestasi pentadbiran dan khidmat kepada rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Sembilan, berbeza dengan kempen Perikatan-Barisan Nasional (PBN) yang didakwa masih bergantung kepada politik ketakutan dan fitnah.
Bendahari Majlis Presiden PH, Khalid Abd Samad berkata, sejak awal kempen gabungan itu memberi fokus kepada rekod pencapaian Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebagai asas untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Menurut beliau, pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun (Tok Min) berjaya membawa Negeri Sembilan ke tahap lebih cemerlang berbanding pentadbiran terdahulu, termasuk dari segi pengurusan kewangan dan kemasukan pelaburan.
"Jelas dibentangkan betapa pencapaian kerajaan Negeri Sembilan jauh lebih cemerlang di bawah Tok Min berbanding pentadbiran sebelum ini, lengkap dengan data dan angka rasmi supaya rakyat dapat membuat pilihan berdasarkan fakta," katanya dalam sidang media di Klana Resort hari ini.
Khalid berkata, sasaran PBN untuk menarik pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun juga tidak lagi relevan apabila PH telah berjaya membawa masuk pelaburan melebihi RM32 bilion hanya dalam tempoh 2025 hingga 2026.
Beliau menyifatkan kegagalan pembangkang mengetengahkan rekod pentadbiran sendiri menyebabkan mereka terus memainkan sentimen kononnya kedudukan Melayu dan Islam terancam.
"Siang dan malam kempen mereka menjual dakyah 'Melayu dan Islam terjejas', sedangkan hakikatnya kedudukan Melayu dan Islam semakin mantap di bawah pentadbiran HARAPAN di Negeri Sembilan," katanya.
Mengulas dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang dalam hantaran Minda Presiden Pas bahawa PH memperoleh kuasa melalui penipuan, helah tidak demokratik, rasuah dan ugutan, Khalid menegaskan tuduhan itu tidak berasas.
"Selama ini isu tadbir urus yang baik (good governance) dan prestasi cemerlang adalah asas tawaran PH untuk dipilih rakyat.
"Mungkin Haji Hadi tersasul dan sebenarnya sedang merujuk kepada kaedah politik Pas sendiri yang sentiasa membohongi dan mengugut rakyat dengan ancaman DAP," kata Khalid.
Beliau turut mengingatkan Presiden Pas supaya berpegang kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 8 yang menyeru umat Islam berlaku adil serta tidak dipengaruhi kebencian sehingga mengabaikan keadilan.
Sehubungan itu, Khalid menggesa Pas menghentikan budaya fitnah dan politik kebencian yang disifatkannya tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Khalid berkata, PH memilih untuk menawarkan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan dengan memberi penekanan kepada isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat seperti peluang pekerjaan, pemilikan rumah, peningkatan pendapatan petani, kebajikan warga emas serta masa depan anak muda di Negeri Sembilan.
"Mesej yang ingin disampaikan mudah, iaitu pengundi tidak perlu membuat eksperimen baharu jika kerajaan sedia ada mampu memberikan kestabilan dan hala tuju yang jelas.
"Semoga rakyat Negeri Sembilan memilih berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar, bukannya pembohongan dan penipuan yang dibawa oleh Pas dan PBN," ujar beliau.




Comments