top of page

PRN N Sembilan: Didik rakyat tolak politik kaum, pilih prestasi, khidmat

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 4 days ago
  • 2 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar medan menentukan kerajaan baharu, sebaliknya menjadi platform penting untuk mendidik rakyat supaya membuat pilihan antara politik berasaskan perkauman atau politik yang mengutamakan prestasi, pembangunan dan khidmat kepada masyarakat.


Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun (gambar) berkata, perjuangan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya, tetapi membawa mesej supaya rakyat mengubah cara berfikir daripada menilai politik berdasarkan sentimen kaum kepada pencapaian sebenar sesebuah kerajaan.


Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen beliau turut membentangkan 'report card' pentadbiran kerajaan negeri sebagai asas untuk rakyat membuat penilaian, namun mengakui keputusan pilihan raya menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperbaiki prestasi.


"Apa yang penting bagi saya bukan kalah menang, tetapi saya mampu mendidik sebahagian besar masyarakat untuk bertukar fikiran daripada hanya mementingkan politik perkauman kepada prestasi yang boleh kita berikan kepada masyarakat.


"Saya bersyukur kepada rakyat. Dalam kempen saya hantar report card kepada mereka. Mungkin report card saya masih kurang lagi dan hari ini mereka telah buktikan perkara itu.


"Bagi saya tiada masalah kerana dalam politik ada kalah dan ada menang," katanya pada sidang media Pakatan Harapan selepas keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan di sini, malam tadi.


Menurut Aminuddin, walaupun menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka, beliau tetap bersyukur kerana kempen yang dijalankan berjaya memberi kesedaran kepada sebahagian besar pengundi, khususnya golongan muda, mengenai kepentingan menilai prestasi kerajaan.


Aminuddin berkata, rakyat kini perlu membuat pilihan sama ada mahu terus dipengaruhi sentimen perkauman atau memilih sebuah kerajaan yang bekerja dan mampu membawa pembangunan di peringkat negeri serta Persekutuan.


"Kalau kita nak perkauman, teruskan. Kalau kita nak sebuah kerajaan yang bekerja dan memastikan pembangunan bukan sahaja di negeri tetapi juga di peringkat pusat, teruskan. Inilah yang saya mahu didik supaya dibawa ke seluruh negara," katanya.


Beliau berkata, keputusan yang menyaksikan kekalahan dengan majoriti tidak terlalu besar juga menunjukkan sentimen perkauman tidak diterima sepenuhnya oleh pengundi, sekali gus memberi keyakinan bahawa usaha membawa politik berasaskan prestasi sedang menunjukkan perkembangan positif.


Mengulas kekalahan yang dialaminya, Aminuddin berkata beliau menerima keputusan rakyat dengan reda serta menganggap menang dan kalah sebagai lumrah demokrasi, malah tidak menyalahkan mana-mana pihak.


"Saya tidak pernah menyesal. Saya rasa syukur kerana dapat mendidik anak bangsa supaya berubah daripada terus dimomokkan dengan politik yang hanya mementingkan kaum," katanya.


Beliau turut berharap kerajaan negeri yang baharu meneruskan segala dasar dan program yang baik demi kepentingan rakyat, sambil menegaskan wakil rakyat PH yang dipilih akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.


Aminuddin turut menyatakan keyakinan bahawa calon-calon muda yang diketengahkan PH dalam pilihan raya kali ini akan terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tidak berjaya memenangi kerusi yang ditandingi, selain menyifatkan segala yang berlaku sebagai qada dan qadar yang mempunyai hikmah untuk beliau serta perjuangan parti pada masa hadapan.


"Kita akan pastikan 11 kerusi yang kita ada berfungsi dengan baik. Kita tidak akan terikat dengan kedudukan, sebaliknya akan terus memberikan khidmat kepada rakyat dan sentiasa bekerja," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page