PRN N Sembilan: Anthony Loke harap keluar mengundi cecah 75 peratus
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat ini berada pada paras hampir sama dengan PRN sebelum ini.
Calon Pakatan Harapan DUN Chennah itu berkata, terdapat beberapa kawasan yang merekodkan kadar keluar mengundi lebih tinggi berbanding pilihanraya lalu, sekali gus disifatkan sebagai perkembangan positif.
"Sepanjang saya terima peratusan mengundi sama dengan PRN yang lepas pada ketika ini (waktu). Ada kawasan yang lebih tinggi. Secara purata lebih kurang sama, ada kawasan yang dilihat peratusan keluar pada awal pagi ini lebih tinggi dari sebelumnya," kata beliau selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Kelpin, Seremban.
Beliau berkata peningkatan kadar keluar mengundi di beberapa kawasan merupakan petanda sihat kepada proses demokrasi.
Loke turut berharap lebih ramai pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dan kadar keluar mengundi keseluruhan sebaik baiknya mencapai lebih 70 peratus.
"Sudah tentu kita harapkan para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan peratusan mengundi ini biar mencecah hingga 75 peratus ke atas kerana ini angka yang penting supaya penglibatan pengundi dalam sistem demokrasi ini perlu merangkumi ramai orang," katanya.
Mengulas pelbagai dapatan kajian dan tinjauan yang dibuat sepanjang tempoh kempen yang tidak menyebelahi PH, Loke berkata semua pihak mempunyai kajian masing-masing dan keputusan sebenar tetap bergantung kepada pilihan rakyat.
"Kajian macam-macam ada. Kita tak payah komen apa-apa kajian, semua pihak ada kajian," ujarnya.
Menurut beliau, keputusan yang dibuat pengundi melalui peti undi akan menjadi penentu sebenar keputusan PRN Negeri Sembilan.
"Tetapi akhirnya keputusan yang dibuat oleh rakyat, bukan kajian. Itu yang kita lihat dan tunggu, mengharapkan keputusan terbaik buat PH pada malam ini," katanya lagi.
Untuk rekod, berdasarkan kajian strategi PH kadar keluar mengundi melebihi 75% akan menentukan PH melepasi 19 kerusi yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Negeri.




Comments