PRN Melaka: Penguatkuasaan peraturan berlebihan membunuh demokrasi - Bersih 2.0



NGO Bersih 2.0 menyelar kerajaan Perikatan Nasional kerana mengenakan pelbagai peraturan yang menyekat kempen calon-calon Pilihan Raya Negeri Melaka.


Menurut Bersih 2.0, sekatan yang dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit telah mencemar demokrasi kerana menghalang proses pilihan raya yang saksama, iaitu peluang calon untuk memperkenalkan diri melalui kempen.


"Insiden terbaru seorang individu di Alor Gajah dikenakan denda RM4,000 kerana "mengadakan kempen pilihan raya dengan memakai jaket berlogo Pakatan Harapan" adalah mengarut dan keterlaluan.


"Ini datang selepas laporan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis "menyerbu" mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Melaka dan hanya berakhir selepas diberitahu mesyuarat parti dibenarkan di bawah garis panduan SPR. Ia hanya menunjukkan sekatan dan denda bukan mengenai pengurusan Covid-19 tetapi penindasan berkempen secara keseluruhan.


"Pilihan raya bukan sahaja membuang undi pada hari pengundian, tetapi ia merangkumi keseluruhannya proses berkempen di mana calon dan parti politik memperkenalkan diri kepada pengundi untuk pengundi membuat pilihan. Tindakan keterlaluan KKM dan pihak

polis telah menindas demokrasi," kata NGO itu dalam satu kenyataan.


Menurut pertubuhan pemantau pilihan raya bersih dan adil itu lagi, tindakan menghalang kempen dianggap melanggar Perkara 8 dan 10 Persekutuan Perlembagaan berkenaan kebebasan berhimpun serta kebebasan bersuara, dan bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, di mana menurut Seksyen 24B, calon boleh berkempen dan bertemu pengundi.


Juga dibenar menganjurkan sebarang perhimpunan awam terbuka, pameran awam atau kerainan atau memberi apa-apa ucapan terbuka serta syarahan di kawasan pilihan raya di mana mereka bertanding.


"Bersih 2.0 dalam kenyataan akhbar sebelum ini menegaskan walaupun langkah berjaga-jaga diambil untuk mengelak penularan wabak Covid-19, larangan sepenuhnya terhadap kempen pilihan raya bukanlah penyelesaian kerana ia menjejaskan pilihan raya yang bebas dan adil.


"Terdapat banyak cadangan yang dicadangkan oleh Bersih tentang SOP pilihan raya yang mematuhi Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional dan boleh menyediakan alternatif kepada kempen seperti akses media yang saksama oleh semua calon tanpa mengira parti.


"Bersih kecewa dengan kekurangan inisiatif dan langkah proaktif oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memudah atau menyediakan kempen yang selamat untuk Melaka. Lebih membimbangkan apabila pilihan raya kini dilihat "diuruskan" oleh KKM dan polis, sedangkan Suruhanjaya Pilihan Rayalah yang secara Perlembagaan diamanahkan untuk menjalankan pilihan raya


"Bersih membantah sekeras-kerasnya larangan dan penguatkuasaan yang melampau serta denda yang dikenakan ke atas calon dan sesiapa sahaja yang berkempen di Melaka. Kami menyeru agar ditingkatkan dan garis panduan yang jelas serta mematuhi Fasa 4 pelan pemulihan disediakan pada minggu terakhir kempen," kata mereka lagi.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER