
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat menggantikan kerajaan yang menghina demokrasi dan memperbodohkan minda mereka.
Bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, rakyat Melaka seharusnya mengundi parti yang boleh menjamin kerajaan stabil dan mengekalkan kemajuan negeri.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan yang di peringkat Persekutuan mempermainkan demokrasi dan melarang kempen PRN tidak wajar diberi peluang memerintah di peringkat negeri.
"Kekesalan saya berkenaan demokrasi yang seolah-olah dipermainkan. Bagaimana mereka buat pengumuman pilihan raya, datang Menteri Kesihatan kata tak boleh berkempen. Namun selepas mereka buat pengumuman itu Ahli Parlimen kerajaan terus buat kempen, kalau denda pun seciput, kalau pihak kita yang ikut SOP didenda pula.
"Jadi mereka telah tunjukkan belang. Track record kerajaan sama ada BN atau PN ini tidak boleh dipercayai. Mereka golongan yang mengkhianati rakyat, apatah lagi demokrasi.
"Kesannya rakyat mula rasa bosan, give up sehinggakan perkara terakhir yang kita tak mahu berlaku ialah orang tidak keluar mengundi.
"Bagi rakyat Melaka inilah peluang untuk kita humban kerajaan yang memperkotak-katikkan demokrasi dan memperbodohkan rakyat.
"Bila kita cakap kerajaan gagal, kita mulakanlah langkah tukar kerajaan gagal dengan PRN Melaka. Kembalikan mandat dan kuasa rakyat dengan keluar mengundi, dan undilah PH," katanya dalam temubual bersama Studio Pasir Berdengung PRN Melaka, semalam.
Menurut Dr Maszlee lagi, pengalaman beliau selama hampir 20 bulan menjadi Menteri Pendidikan membuktikan hanya negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), Exco Pendidikannya proaktif untuk berkerjasama dengan kerajaan pusat bagi memajukan pendidikan di sekolah rendah dan menengah.
Oleh itu, katanya, jika PH dipilih mentadbir Melaka maka akan ada program proaktif dalam membangunkan pendidikan di negeri itu.
"Pengalaman saya sewaktu menjadi Menteri Pendidikan dahulu, berurusan dengan MB, Exco kita nampak kesungguhan negeri di bawah PH berkenaan isu pendidikan.
"Sehingga kini pun Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang kita nampak kesungguhan usaha untuk memandaikan anak-anak negeri di negeri PH ini.
"Jadi, undi PH untuk masa depan anak-anak anda, bagi rakyat Melaka. Yang duduk di luar Melaka pastikan pulang untuk mengundi demi masa depan Melaka yang lebih gemilang," katanya.
Mengulas isu Belanjawan 2022 yang baharu dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Dr Maszlee berkata, belanjawan kali ini banyak 'gula-gula' kepada rakyat tetapi tidak ada pelan atau perancangan jangka panjang.
Termasuklah dalam sektor pendidikan, katanya, kerajaan gagal mengumumkan perincian dan peruntukan pasca Covid 19 untuk memulihkan sektor berkenaan
"Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan saya dapati lebih banyak gimik politik seperti mana yang diperkatakan oleh banyak pihak, memberi gula-gula tanpa menyediakan pelan jangka panjang.
"Walaupun kita dah bincang tentang kelemahan Rancangan Malaysia Ke 12 tetapi nampaknya macam tak ada connection antara RMK 12 dan Belanjawan 2022 yang mereka bentangkan baru-baru ini.
"Isu pendidikan kita lihat hal yang sama berlaku. Tak ada pelan jangka panjang pendidikan, sama ada pendidikan rendah atau menengah. Walaupun sering kali kita minta di Parlimen agar kedua-dua kementerian bincangkan pelan pasca Covid.
"Tak jelas langsung. Bajet 2022 sendiri pun tidak memasukkan pelan pemulihan," katanya.