PRN Melaka: BN hanya dapat undi tradisi, PH perlu perbaiki kelemahan - Syed Ibrahim



Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN tidak perlu mendabik dada bahawa mereka telah diterima kembali oleh rakyat.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, prestasi BN tidaklah membanggakan dan tiada peningkatan undi melainkan memperolehi undi yang sama seperti mana Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.


Malah, katanya, sekiranya Prosedur Operasi Piawai (SOP) dilonggarkan prestasi Pakatan Harapan tidaklah seburuk yang dialami sekarang.


"BN sebenarnya kekal dengan sokongan mereka. Tiada penambahan ketara. Dengan mengekalkan tradisi hubungan jaringan kampung Melayu terutamanya. Tambahan pula kemungkinan besar peraih undi tetap pergi rumah ke rumah, maka ia berpihak kepada BN.


"Selain itu SOP yang tidak munasabah tanpa ceramah kelompok atau apa jua perjumpaan juga berpihak kepada BN," katanya.


Menurut Ahli Parlimen Ledang itu, SOP yang melampau seolah-olah mensabotaj PH dan hal itu adalah punca sebenar kekalahan.


"Saya turun berkempen di DUN Sungai Udang dan mematuhi SOP. Edar risalah ke peti surat dibenarkan tetapi jumpa pengundi tak dibenarkan walaupun dalam jumlah terhad.


"Malahan kempen secara “sandwich man” atau memakai sepanduk di badan di persimpangan utama jalan juga dihalang oleh polis. Dikatakan menganggu lalu lintas," katanya.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak PH juga mempunyai kelemahan kerana terlalu yakin dengan sokongan rakyat sejak PRU 14 sehingga tidak mencuba mencari formula baharu untuk meningkatkan sokongan.


"Saya setuju jentera PH juga ada kelemahannya dan wajar diperbaiki segera sebelum pilihan raya lain yang akan datang.


"Kita tak semestinya menyalahkan pihak lain semata-mata. Wajar muhasabah dan ambil tindakan untuk meraih sokongan dalam keadaan SOP norma baharu," katanya lagi.


Untuk rekod, kemenangan BN dalam PRN Melaka menyebabkan gabungan itu digelar kerajaan 26% kerana hanya sebanyak itu undi yang diperolehi.


Sebanyak 33% pengundi enggan keluar mengundi dan 41% tidak memilih BN, sebaliknya memangkah PH atau PN.


Malangnya sistem pilihan raya Malaysia menyebabkan BN mendapat 2/3 kerusi DUN dengan peratusan undi yang langsung tidak realistik mendukung mereka.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER